Sewaktu acara Computex Taipei yang berlangsung pada pertengahan tahun ini, Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme dan Intel Arc G3 yang tampil menggunakan asas cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” yang hadir dengan cip pemprosesan grafik Intel Xe3 yang cukup berkuasa sekali.
Terkini, ia dilaporkan bahawa Intel mungkin akan memperkenalkan sebuah lagi cip pemprosesan Intel Arc G3, kali ini hadir dengan konfigurasi 4+0+4+4 teras, yang terdiri daripada 4 teras Performance, 0 teras Efficiency, 4 teras Efficiency Low Power dan 4 teras Xe3.

Ini dijangka akan menjadi cip pemprosesan yang lebih cekap, khususnya dengan cip Intel Arc G3 dan Arc G3 Extreme sedia ada tampil dengan 10 dan 12 teras Intel Xe3 terbina. Konfigurasi spesifikasi lain seperti sokongan memori, storan, teknologi sambungan dan lain-lain tidak diketahui lagi buat masa ini.
Jangkaannya ialah cip Intel Arc G3 berkuasa rendah ini boleh digunakan untuk menguasakan peranti-peranti gaming mudah-alih yang tidak memerlukan kuasa pemprosesan grafik yang berkuasa ataupun komputer-komputer lain yang hanya mahukan kuasa perkomputeran dan pemprosesan grafik yang asas. Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah cip ini akan diperkenalkan, dan peranti-peranti apakah yang akan memanfaatkannya.
Sumber: Videocardz





