
Dalam ulasan Intel Core Ultra 7 270K Plus baru-baru ini, saya ada mengatakan bahawa jika anda mahu membeli sebuah komputer riba berkuasa, saranan saya ialah untuk tunggu sahaja ketibaan cip pemprosesan Intel Nova Lake-S kerana sokongan papan induk LGA 1954 yang lebih baru, dan dijangka akan tahan lebih lama berbanding dengan LGA 1851 yang akan terkubur selepas pelancaran siri cip Arrow Lake Refresh ini.
Akan tetapi, jika anda tidak begitu kisah tentang prestasi paling berkuasa dan hanya mahu membina sebuah komputer yang tidak lag dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis tujuan produktiviti dan riadah, Intel telah mengumumkan bahawa mereka akan terus menyokong platform papan induk LGA 1700 yang menggunakan siri cip pemprosesan Intel Raptor Lake, yang terdiri daripada cip-cip peprosesan Intel Core generasi 13 dan 14.
Ini adalah kerana platform tersebut, bersama-sama dengan cip-cip pemprosesan Intel ini merupakan satu-satunya platform aktif yang menyokong penggunaan memori DDR4 yang masih banyak dijual di pasaran pada harga yang tidak setinggi penawaran memori DDR5. Malah, Intel menjangkakan bahawa platform LGA 1700 akan disokong untuk beberapa tahun akan datang, sementara menunggu harga komponen memori DDR5 untuk turun dan stabil.

Pengumuman ini, yang dibuat oleh Robert Hallock, VP dan Pengurus Besar bahagian Enthusiast Channel di Intel nampaknya selari dengan laporan kami sebelum ini yang mana Intel dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan Raptor Lake Next yang merupakan kemaskini kepada siri cip pemprosesan Raptor Lake sedia ada yang dibina menggunakan proses 10nm.
Ia juga sedikit sebanyak mengesahkan bahawa komponen RAM DDR5 akan kekal mahal buat masa ini, sekurang-kurangnya sehingga memori DDR6 mula dihasilkan secara besar-besaran dalam masa dua ke tiga tahun lagi.
Dalam pada itu, AMD juga telah mula memperkenalkan kembali siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7 5800 X3D sebagai sambutan ulang-tahun ke-10 pengenalan cip pemprosesan tersebut, tetapi ia juga merupakan penawaran paling berkuasa mereka yang juga menggunakan memori DDR4.
Syarikat-syarikat pengeluar cip pemprosesan ini sedar bahawa membina PC sendiri pada hari ini dengan komponen-komponen moden seperti memori DDR5 dan kad grafik yang menggunakan memori GDDR7 adalah sangat mahal sekali, jadi dengan kembalinya komponen yang menyokong teknologi-teknologi yang sedikit lama diharap dapat membantu pembeli membina komputer-komputer mereka.
Sumber: Tom’s Hardware




