Intel Melancarkan Perisian Lewahjam Xtreme Tuning Utility 10 Khusus Untuk Cip Arrow Lake

TechnologyDigital
17 Oct 2024 • 2:25 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan bahawa Intel akan melancarkan cip pemprosesan premium mereka terlebih dahulu yang hadir dengan huruf ‘K’ dibelakangnya yang menandakan bahawa ia adalah sebuah cip pemprosesan yang boleh dilewahjam.

Intel juga telah memperkenalkan perisian Intel XTU atau Xtreme Tuning Utility yang memudahkan proses mengubahsuai kelajuan cip dan melewahjam CPU tanpa perlu lagi memasuki menu BIOS untuk melakukan perubahan-perubahan ini.

image is not available

Ia sudah diperkenalkan untuk beberapa generasi cip pemprosesan, dan secara lazimnya perisian ini akan dikemaskini setiap kali sebuah siri cip pemprosesan baru diperkenalkan. Akan tetapi, untuk iterasi terbaru perisian XTU ini, yang dinamakan Intel XTU 10, Intel juga telah mengesahkan bahawa perisian ini hanya boleh digunakan dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200S.

Ini adalah kerana cip pemprosesan Arrow Lake S yang terbaru hadir dengan banyak ciri-ciri baru seperti dual base clock dan kepelbagaian teras dan jubin yang juga boleh diubahsuai prestasinya.

image is not available

Untuk para pengguna cip-cip pemprosesan generasi 14 (Raptor Lake Refresh) dan kebawah, mereka masih lagi boleh menggunakan perisian Intel XTU versi 7.14.2.14 yang juga masih lagi disokong untuk cip-cip pemprosesan tersebut.

Jika anda tidak begitu menghiraukan tentang perkara seperti lewahjam dan pengubahsuaian voltan CPU, ciri ini tidak diwajibkan untuk anda memuat-turun dan menggunakannya.