Intel Melantik Lip-Bu Tan Sebagai CEO Baharu – Anak Kelahiran Johor

TechnologyDigital
13 Mar 2025 • 9:13 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Intel pagi ini secara rasminya melantik Lip-Bu Tan sebagai CEO baharu syarikat. Pencarian CEO baharu telah dilakukan sejak Pat Gelsinger dipaksa meletakkan jawatan pada awal Disember tahun lalu berikutan prestasi buruk syarikat di bawah pimpinan beliau. Sebelum menjadi CEO, Tan ialah ahli lembaga syarikat Intel yang meletakkan jawatan Ogos tahun lalu kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan yang diambil Gelsinger.

image is not available

Lip-Bu Tan merupakan salah seorang veteran dalam arena semikonduktor. Dilahirkan di Muar, Johor pada 1959 dan membesar di Singapura, Lip-Bu Tan turut mempunyai Ijazah Sarjana dalam kejuruteraan nuklear dari MIT. Kini beliau merupakan pengerusi eksekutif untuk Cadence Design Systems, selain turut melakukan pelaburan melalui Walden Catalyst.

Dalam memo yang diberikan kepada kakitangan Intel pagi ini, Tan menggesa kakitangan untuk “bersama-sama bekerja keras untuk memulihkan kedudukan Intel sebagai syarikat produk bertaraf dunia, mengukuhkan syarikat sebagai faundri bertaraf dunia dan menggembirakan pelanggan seperti tidak pernah berlaku sebelum ini,”