Sebagai sebahagian daripada pelan Honor Alpha Plan untuk membangunkan ekosistem kecerdasan buatan pada peranti, CEO Honor, James Li juga telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut akan melaburkan sebanyak $10 bilion (~RM45 bilion) untuk tujuan tersebut sepanjang lima tahun akan datang.

Pengumuman ini dibuat setelah beliau menjanjikan bahawa siri peranti Honor Magic akan menerima kemaskini versi Android dan juga ciri keselamatan untuk tujuh tahun akan datang, berkemungkinan besar bermula dengan siri peranti Honor Magic7 yang terbaru.

Dengan pelaburan ini, Honor dilihat akan bekerjasama dengan banyak syarikat-syarikat pembangun teknologi AI lain seperti Google dan Qualcomm untuk mendemokrasikan teknologi tersebut ke jumlah pengguna yang lebih meluas.

Fokus Honor nampaknya ialah untuk memastikan bahawa teknologi-teknologi AI yang dibangunkan bukan sahaja oleh mereka, tetapi syarikat-syarikat lain boleh dimanfaatkan oleh sebanyak pengguna yang mungkin dengan membolehkan lebih banyak peranti pada tanda harga berbeza untuk memanfaatkannya, sekaligus membolehkan sesiapa pun dengan peranti pintar untuk memanfaatkan teknologi AI.


