Intel Memperkenalkan Cip Raptor Lake Refresh Dengan Teras Prestasi Sahaja

TechnologyDigital
22 Jul 2024 • 1:51 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Intel dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan kelas desktop mereka, Arrow Lake sekitar bulan September ke bulan Oktober kelak, tetapi sebelum itu, mereka nampaknya telah mula memperkenalkan cip pemprosesan Raptor Lake Refresh yang hadir dengan satu perubahan yang sangat ketara.

Menurut beberapa laporan, Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan Raptor Lake Refresh yang hadir dengant teras pemprosesan “Performance” sahaja, dengan teras “Efficiency” dinyahaktifkan. Siri cip pemprosesan ini dilihat hadir dengan nama model Intel Core 14001, dan terdiri daripada sembilan model CPU.

Cip-cip pemprosesan ini terdiri daripada tiga model CPU Intel Core i9, dua model Intel Core i7 dan empat model Intel Core i5. Ia turut dilaporkan bahawa Intel nampaknya menggunakan cip-cip pemprosesan Raptor Lake Refresh sedia ada yang mungkin hadir dengan teras E yang rosak, menyahaktifkannya dan menggunakan teras P sahaja.

Walaupun begitu, pihak Intel juga mengesahkan bahawa cip pemprosesan ini tidak akan dijual sebagai produk sedia ada seperti cip-cip pemprosesan kelas desktop mereka yang lain. Penawaran ini hanya akan dijual kepada syarikat OEM yang akan mematerikannya kepada papan induk secara terus dan akan dijual sebagai sistem komputer siap pasang dari kilang.

Ini dilihat sebagai salah satu cara terbaik untuk Intel mengurangkan pegangan stok siri CPU lama mereka untuk membuat ruang bagi siri cip pemprosesan Arrow Lake yang akan dilancarkan kelak.