Intel Mencari Bekas Pekerja Yang Telah Mencuri Dokumen Sulit Syarikat

TechnologyBusiness & Finance
10 Nov 2025 • 1:30 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sejak pertengahan tahun lepas, ia dianggarkan bahawa Intel telah membuang kira-kira 35 ribu pekerja untuk mengurangkan kos dan untuk menyelarikan operasi syarikat.

Dengan jumlah pembuangan pekerja yang besar ini, ia tidak mengejutkan untuk mengetahui bahawa ada beberapa pekerja yang tidak begitu berpuas hati kerana telah dibuang. Baru-baru ini, Intel dilaporkan sedang mencari seorang bekas pekerja yang dikatakan telah mencuri banyak dokumen-dokumen sulit syarikat dan telah menghilangkan diri.

Individu tersebut ialah Luo Jinfeng, yang merupakan seorang jurutera perisian di syarikat tersebut sejak 2014, tetapi telah dihantar notis pembuangan kerja pada awal bulan Julai yang lalu. Secara ringkasnya, setelah menerima notis pembuangan kerja tersebut, dia didapati telah memuat-turun sejumlah dokumen-dokumen syarikat pada komputer riba sebelum menghantarnya ke mesin pelayaran storan sendiri.

image is not available

Intel mengatakan bahawa Luo didapati telah mula mencuba memuat-turun dokumen-dokumen ini hanya beberapa minggu sebelum dia dilepaskan, dan walaupun pada mulanya rangkaian syarikat tidak membenarkannya memuat-turun data ini, dia masih berjaya melakukannya dan telah memuat-turun lebih banyak lagi data sebelum hari terakhirnya.

Sejak itu, pihak Intel telah mencuba untuk berkomunikasi dengannya, tetapi semua cubaan tersebut, dari menghantar emel ke surat tunjuk sebab dan sebagainya gagal. Malah, sehingga kini pihak Intel tidak berjaya untuk berkomunikasi dengannya, mengatakan bahawa ia seperti beliau tidak lagi dapat dijejak.

Terdapat pertanyaan bahawa samada dia telah meninggalkan Amerika Syarikat, tetapi tiada sebarang bukti yang dapat dikenalpasti jika ia benar ataupun tidak.

Intel kini dilaporkan sedang cuba untuk bukan sahaja menyaman Luo Jinfeng untuk $250 ribu, tetapi juga untuk dia memulangkan semua dokumen-dokumen yang dicuri tersebut.