Intel Mengesahkan Pengumuman Kad Grafik Arc Battlemage Pro Di Acara COMPUTEX

TechnologyDigital
8 May 2025 • 5:22 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Beberapa minggu lalu kami telah melaporkan bahawa Intel mungkin akan memperkenalkan sebuah kad grafik Arc Battlemage baru yang akan hadir dengan 24GB memori GDDR6 terbina. Terkini, Intel telah mengeluarkan pengumuman bahawa siri kad grafik Intel Arc Pro baru akan diumumkan di acara COMPUTEX yang akan berlangsung di Taipei pada penghujung bulan ini.

image is not available

Melalui ciapan di X/Twitter, Intel mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan kad grafik Intel Arc Pro terbaru mereka, yang dijangka akan dinamakan Intel Arc Battlemage Pro, dan akan hadir dengan beberapa pilihan model dengan penawaran memori yang berbeza.

Berkemungkinan besar model paling berkuasa dalam siri ini akan hadir dengan jumlah memori 24GB GDDR6, kerana ia juga dilaporkan bahawa kad grafik ini akan menggunakan cip grafik Intel BGM-G21 sama yang digunakan dalam kad grafik Intel Arc B580 yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Satu perbezaan ketara yang diperlihatkan pada kad grafik ini, yang mungkin akan dinamakan sebagai Intel Arc Pro B60 ialah ia nampaknya tidak akan dipasarkan sebagai kad grafik untuk gaming, tetapi sebaliknya untuk tujuan profesional seperti suntingan video, olahan objek 3D ataupun pembangunan teknologi kecerdasan buatan.