Intervensi kerajaan pastikan rakyat terus bernafas

LocalPolitics
6 May 2026 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Intervensi kerajaan pastikan rakyat terus bernafas
Kerajaan mengambil pendekatan dengan memperkenalkan tiga langkah utama yang dilihat mampu memberi kelegaan kepada rakyat.

DALAM mendepani tekanan kos sara hidup susulan krisis bekalan global, kerajaan mengambil pendekatan bersasar dengan memperkenalkan tiga langkah utama yang dilihat mampu memberi kelegaan segera kepada rakyat, khususnya golongan pesawah dan peniaga kecil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menyalurkan wang pendahuluan Kadar Khas Inisiatif Pembajakan sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah.

Langkah itu bukan sahaja bersifat intervensi jangka pendek, malah mencerminkan keutamaan kerajaan dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara terus stabil.

Kos operasi yang meningkat termasuk keperluan menyewa mesin membajak menjadi antara kekangan utama sektor pertanian.

Justeru itu, pemberian pendahuluan ini dilihat sebagai suntikan tunai kritikal bagi memastikan musim penanaman tidak terganggu.

Selain sektor pertanian, kerajaan turut memberi tumpuan kepada kelangsungan perniagaan kecil yang berdepan tekanan kos.

Menerusi arahan baharu, kadar sewa premis perniagaan milik agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) akan dikurangkan berkuat kuasa serta-merta.

Langkah itu dilihat signifikan kerana sebahagian besar peniaga kecil dan penjaja bergantung kepada premis milik agensi kerajaan.

Pengurangan kadar sewa bukan sahaja mengurangkan beban operasi, malah memberi ruang kepada peniaga mengekalkan harga jualan pada tahap lebih stabil.

Gesaan kerajaan kepada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk mengambil pendekatan serupa dapat mewujudkan kesan rantaian yang lebih menyeluruh kepada ekosistem perniagaan kecil.

Langkah ketiga pula memberi fokus kepada pengguna secara langsung melalui peluasan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang akan dilaksanakan setiap minggu di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Anwar, penetapan jadual tetap dan peluasan ke kawasan kampung terpilih akan memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah secara konsisten.

Pendekatan itu mencerminkan strategi kerajaan dalam mengimbangi tekanan inflasi dari sudut penawaran dan akses.

Dengan memastikan barangan asas mudah diperoleh pada harga berpatutan, kerajaan berusaha menstabilkan sentimen pengguna yang semakin terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Secara keseluruhan, tiga langkah yang diumumkan memperlihatkan pendekatan pragmatik kerajaan menggabungkan bantuan tunai, pengurangan kos operasi dan intervensi pasaran.

Walaupun bersifat jangka pendek, pelaksanaan pantas dan berskala besar itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan tidak menunggu keadaan menjadi lebih parah sebelum bertindak.

Pasti ada pihak yang akan mempertikaikan sejauh mana langkah langkah tersebut mampu bertahan terutama sekiranya krisis bekalan global berlarutan, fokus utama kini adalah memastikan rakyat terus bernafas dalam tekanan ekonomi yang semakin mencabar.