Rasionalisasi subsidi: Kerajaan Madani potong pembaziran, bukan kebajikan rakyat – Bryan Ng

LocalPolitics
4 May 2026 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rasionalisasi subsidi: Kerajaan Madani potong pembaziran, bukan kebajikan rakyat – Bryan Ng
Kerajaan kini terpaksa menampung kenaikan kos subsidi bahan api yang mendadak dari RM700 juta sebulan kepada RM5 blilion sebulan ekoran krisis tenaga global. Gambar kecil: Bryan Ng

SHAH ALAM - Langkah Kerajaan Madani mempertimbangkan pengurangan perbelanjaan di sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebanyak RM5.4 bilion disifatkan sebagai usaha berani serta berhemat bagi mengekang pembaziran, bukannya pemotongan terhadap peruntukan kebajikan rakyat.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin berkata, tindakan itu merupakan strategi fiskal penting dalam mendepani lonjakan kos subsidi bahan api negara yang kini mencecah sekitar RM5 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebulan pada awal tahun lalu.

Menurutnya, langkah merasionalisasikan semula struktur perbelanjaan subsidi juga amat signifikan dalam memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara tanpa menjejaskan keperluan asas rakyat.

"Kerajaan meletakkan kestabilan ekonomi sebagai keutamaan tanpa mengusik perkhidmatan teras.

"Hospital kekal beroperasi seperti biasa, bantuan tunai diteruskan dan kebajikan rakyat kekal menjadi benteng utama,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan kini menanggung beban subsidi bahan api mencecah kira-kira RM5 bilion sebulan dan berpotensi meningkat kepada lebih RM6 bilion sekiranya harga minyak global melonjak tinggi.

Tambah Menteri Kewangan itu, jumlah subsidi ditanggung kerajaan itu melonjak tinggi berbanding sekitar RM700 juta pada Januari lalu, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara.

Tekanan kenaikan mendadak subsidi bahan api ekoran krisis tenaga global berpunca konflik perang Asia Barat turut menyebabkan Kementerian Kewangan pada minggu lalu mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi.

Mengulas lanjut, Bryan Ng menjelaskan, pengurangan perbelanjaan itu hakikatnya sekadar tertumpu kepada komponen tidak kritikal seperti kos pentadbiran dan protokol termasuk pengurangan majlis rasmi, lawatan luar negara serta penggunaan kaedah pendigitalan bagi bahan promosi.

Selain itu, projek pembangunan yang tidak mendesak akan ditangguhkan, manakala peruntukan kementerian yang tidak diserap sepenuhnya akan diselaraskan semula.

"Pendekatan sama turut melibatkan pelaksanaan latihan dan seminar secara dalam talian serta penangguhan pengisian jawatan sokongan bukan kritikal.

"Bagaimanapun, langkah tersebut tidak melibatkan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan termasuk jawatan doktor, jururawat serta guru," ujarnya.

Tegas Bryan Ng, peruntukan yang tidak akan dipotong merangkumi rawatan hospital, bekalan ubat-ubatan, biasiswa, pinjaman PTPTN, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan golongan B40, gaji penjawat awam serta perkhidmatan harian rakyat.

Tambahnya, rasionalisasi itu mencerminkan disiplin fiskal yang bertanggungjawab, selain bertujuan menyingkirkan pembaziran dan pertindihan projek agar setiap ringgit hasil cukai rakyat dibelanjakan secara lebih efisien serta berintegriti.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan keperluan mengawal defisit negara bagi mengelakkan penurunan penarafan kredit yang boleh meningkatkan kos pinjaman dan akhirnya memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.

"Peralihan kepada subsidi bersasar juga dilihat lebih adil kerana memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sekali gus mengelakkan ketirisan kepada golongan berpendapatan tinggi.

"Disiplin kewangan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan fiskal negara, malah berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong pengukuhan nilai ringgit,” ujarnya.

Bryan Ng turut mencadangkan beberapa langkah bagi memperkukuh pelaksanaan dasar fiskal negara termasuk memperluas kerjasama awam-swasta (PPP), menggalakkan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam tanggungjawab sosial serta meningkatkan ketelusan melalui laporan penjimatan berkala.

Selain itu, beliau menegaskan, audit pembaziran di peringkat jabatan dan sokongan kepada ekonomi gig juga disaran bagi memastikan manfaat penjimatan dapat dirasai secara lebih meluas oleh rakyat.

"Langkah ini membuktikan kerajaan lebih rela mengikat perut di peringkat pentadbiran daripada membiarkan rakyat menanggung beban.

"Ini asas kepada pembinaan negara yang lebih mampan dengan kebajikan rakyat sebagai kompas utama,” katanya.