IOI Corp beralih kepada jentera EV, tingkatkan kecekapan kos dan margin kumpulan - Phillip Capital

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 11:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOI Corp beralih kepada jentera EV, tingkatkan kecekapan kos dan margin kumpulan - Phillip Capital Image from: IOI Corp beralih kepada jentera EV, tingkatkan kecekapan kos dan margin kumpulan - Phillip Capital hamden13/08/2026 - 11:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Penggunaan meluas jentera berkuasa elektrik (EV) dijangka menjadi antara pemacu utama peningkatan kecekapan operasi IOI Corporation Bhd (IOI), khususnya dalam aktiviti penuaian dan pengurusan ladang, sekali gus membantu pengembangan margin keuntungan, menurut Phillip Capital Research (Phillip Capital).

 

Firma penyelidikan itu berkata, penggunaan mesin serta reka bentuk semula estet bukan sahaja meningkatkan produktiviti penuaian, malah mengurangkan kebergantungan kumpulan terhadap tenaga kerja serta membantu menurunkan kos operasi seunit dalam jangka sederhana hingga panjang.

 

Inisiatif tersebut hadir pada masa yang tepat ketika IOI memasuki fasa pemulihan pengeluaran berbilang tahun, disokong profil umur estet yang semakin matang susulan aktiviti penanaman semula yang dipercepatkan sepanjang dekad lalu.

 

“Bersama harga baja yang menggalakkan dan leveraj operasi yang lebih kukuh, inisiatif-inisiatif ini dijangka menyokong pengembangan margin secara beransur-ansur, sekali gus meletakkan IOI pada kedudukan yang baik untuk mencatat pertumbuhan pendapatan mampan sepanjang FY27-28,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pengurusan menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (FFB) meningkat pada kadar satu digit tinggi bagi FY27, didorong sumbangan lebih besar daripada kawasan penanaman semula yang mula matang serta penggunaan bahan tanaman berhasil tinggi.

 

Peningkatan sumbangan daripada pokok yang semakin matang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pengeluaran FFB, sekali gus meningkatkan penggunaan kapasiti dan leveraj operasi kumpulan.

 

Pada masa sama, peningkatan kecekapan operasi dijangka membantu IOI mengurus tekanan kos dengan lebih baik, khususnya dalam persekitaran kos tenaga kerja yang mencabar.

 

TP dinaikkan kepada RM5.04

Phillip Capital mengekalkan saranan ‘BELI’ terhadap IOI dengan harga sasaran (TP) 12 bulan dinaikkan kepada RM5.04 daripada RM4.65.

 

TP baharu tersebut berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak **22 kali**, berbanding 21 kali sebelum ini, ke atas EPS CY27E.

 

Firma itu menurunkan unjuran EPS FY26E sebanyak 3% bagi mengambil kira jumlah pengeluaran sebenar, namun menaikkan anggaran EPS FY27-28E sebanyak 2% hingga 5% susulan jangkaan pengeluaran yang lebih tinggi dan andaian harga isirung sawit (PK) yang lebih baik.

 

Menurut Phillip Capital, penilaian lebih tinggi itu mencerminkan prospek harga minyak sawit (PO) yang lebih positif bagi 2027-28 serta prospek pengeluaran IOI yang semakin baik.

 

"Dengan kedudukan kewangan yang kukuh dan peruntukan modal yang berdisiplin, IOI dilihat berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan pertumbuhan pendapatan merentasi kitaran komoditi.

 

Risiko utama termasuk harga minyak sawit mentah (CPO), pengeluaran dan permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan, peningkatan tekanan kos serta ketidaktentuan makroekonomi yang lebih meluas," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved