Krishnan Tan bersara selepas 42 tahun bersama IJM Corp

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 3:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Krishnan Tan bersara selepas 42 tahun bersama IJM Corp Image from: Krishnan Tan bersara selepas 42 tahun bersama IJM Corp hamden29/07/2026 - 15:41 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai - Pengerusi IJM Corporation Bhd, Tan Sri Krishnan Tan akan menamatkan perkhidmatannya bersama kumpulan itu selepas 42 tahun apabila memutuskan untuk tidak menawarkan diri bagi pemilihan semula pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat yang dijadualkan pada 27 Ogos ini.

 

Krishnan, 73, mengumumkan keputusan itu menerusi kenyataan pengerusinya yang disertakan dalam laporan tahunan IJM yang diterbitkan pada Selasa, dengan tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi berakhir sebaik sahaja AGM itu selesai.

 

Beliau dilantik sebagai Pengerusi IJM pada 29 Ogos 2019 selepas memegang pelbagai jawatan kanan dalam kumpulan sejak menyertai lembaga pengarah sebagai pengarah ganti pada 12 Jun 1984.

 

Sepanjang lebih empat dekad bersama IJM, Krishnan pernah berkhidmat sebagai Pengawal Kewangan, Pengarah, Timbalan Pengarah Urusan, Pengarah Urusan Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Timbalan Pengerusi Eksekutif serta Timbalan Pengerusi Bukan Eksekutif sebelum mengambil alih jawatan pengerusi.

 

Di luar IJM, beliau turut pernah menjadi Pengawal Kewangan Kumpulan di Kumpulan Perangsang Selangor Bhd dari 1975 hingga 1982, Pengerusi IJM Land Bhd dari 2007 hingga 2015 serta Pengarah IJM Plantations Bhd dari 1993 hingga 2021.

 

Sehingga akhir Jun 2026, Krishnan memiliki pegangan langsung sebanyak 0.3% dan pegangan tidak langsung sebanyak 0.032% dalam IJM.

 

Cabaran Tahun Terakhir

Dalam ucapan perpisahannya kepada pemegang saham, Krishnan menyifatkan tahun terakhir beliau sebagai pengerusi antara tempoh paling mencabar dalam kerjayanya apabila berdepan cubaan pengambilalihan oleh Sunway Bhd serta pelbagai dakwaan yang timbul susulan proses tersebut.

 

Beliau berkata, pengalaman menjadi sasaran pengambilalihan memberi perspektif baharu selepas sekian lama terlibat menilai peluang pengambilalihan syarikat sepanjang kerjayanya.

 

"Setelah menghabiskan sebahagian besar kerjaya saya menilai pengambilalihan dan bukannya menjadi sasaran pengambilalihan, pengalaman ini menjadi peringatan bahawa syarikat perlu sentiasa tangkas dan dinamik dalam menghadapi persekitaran perniagaan serta pasaran modal yang berkembang pesat," katanya.

 

Pada Januari 2026, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat terhadap IJM, namun tawaran itu gagal selepas tidak memperoleh penerimaan melebihi 50% pegangan saham syarikat, sekali gus membolehkan IJM kekal sebagai entiti bebas.

 

Dakwaan Berniat Jahat

Krishnan turut menyentuh dakwaan yang disifatkannya sebagai berniat jahat dan tidak berasas yang tersebar di media sosial ketika proses pengambilalihan berlangsung sehingga menjejaskan reputasi IJM dan dirinya.

 

Bagaimanapun, beliau berkata pengeluaran surat Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa cadangan pengambilalihan Sunway dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan rangka kerja kawal selia yang ditetapkan.

 

Menurut Krishnan, walaupun berdepan pelbagai cabaran, pengalaman tersebut membuktikan bahawa amalan tadbir urus korporat, integriti serta piawaian etika IJM kekal utuh ketika melalui antara episod paling mencabar dalam sejarah syarikat.

 

"Pemegang saham boleh berasa yakin bahawa tadbir urus, integriti dan standard etika IJM telah berjaya mengharungi antara tempoh paling mencabar dalam sejarah kumpulan ini," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved