IOI Corporation dijangka terus kukuh dengan kilang pulpa kertas di Pekan, MBSB Research kekal saranan beli

LocalBusiness & Finance
8 Dec 2025 • 9:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOI Corporation dijangka terus kukuh dengan kilang pulpa kertas di Pekan, MBSB Research kekal saranan beli
image is not available
liza08/12/2025 - 09:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Dis – IOI Corporation Berhad diyakini terus memperkukuhkan kedudukannya dalam segmen pulpa kertas melalui cadangan usaha sama (JV) kedua bersama Nextgreen dan syarikat dari China iaitu HP Paper Sources menerusi penubuhan Neuwhite Paper Pulp Sdn Bhd di Pekan, Pahang.

 

Projek ini melibatkan jumlah perbelanjaan modal RM882 juta untuk membangunkan kilang pulpa kertas hiliran pertama syarikat itu, melengkapkan perniagaan sedia ada IOI dalam pulpa kertas berasaskan tandan kosong kelapa sawit (EFB) melalui JV 45%-milik Nextgreen IOI Pulp Sdn Bhd (NIP). 

 

MBSB Research berkata, projek ini membantu IOI mengembangkan rantaian perniagaan dan menggunakan kepakaran Xiamen C&D dalam pemprosesan serta rangkaian pengedaran yang kukuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata, strategi projek ini adalah untuk memanfaatkan sisa EFB yang banyak dihasilkan dari empat kilang minyak sawit IOI di Pahang dan Johor, serta bekalan tambahan dari lebih 140 kilang lain di Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. 

 

“Kilang ini dijangka memerlukan kira-kira 634,000 tan setahun EFB bagi menyokong pengeluaran 150,000 tan pulpa kertas setahun.

 

“Harga tanah untuk kilang Neuwhite di Pekan pada RM19.90/kaki persegi adalah wajar, lebih murah kira-kira 30% berbanding harga tanah industri Pasdec baru-baru ini,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Berdasarkan struktur pembiayaan yang dicadangkan, RM882.0 juta capex itu dijangka dibiayai melalui 67% hutang (RM592.0 juta) dan 33% ekuiti (RM290 juta). 

 

Komitmen ekuiti efektif IOI melalui pegangan dalam NIP dianggarkan pada RM217.5 juta, manakala syarikat dijangka menyediakan RM199.8 juta hutang tambahan untuk menampung bahagian hutang projek. 

 

MBSB Research berkata, penambahan ini dijangka menaikkan nisbah hutang bersih IOI daripada 0.13x kepada 0.15x, masih 50% lebih rendah daripada purata sektor perladangan.

 

“Walaupun projek ini positif untuk meningkatkan permintaan dan nilai komersial EFB, sumbangan pendapatan dijangka hanya bermula FY2030, memandangkan operasi kilang dijangka bermula Jun 2028 dan mencapai kapasiti penuh selepas kira-kira dua tahun.

 

“Bagi tahun kewangan Jun 2026 hingga 2028, kami menjangka hasil syarikat meningkat dari RM10.77 bilion kepada RM11.05 bilion, dengan EPS sekitar 20.4–20.5 sen dan DPS 10.5 sen, memberikan pulangan dividen 2.4–2.6%. 

 

“Dengan harga saham pada RM4.11 (5 Dis 2025), jangkaan pulangan saham ialah +7.6%, manakala jumlah pulangan dijangka ~10% termasuk dividen,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard