Sektor penjagaan kesihatan dijangka terus positif pada 2026 susulan peraturan baharu KKM – MBSB Research

LocalHealth & Fitness
8 Dec 2025 • 10:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor penjagaan kesihatan dijangka terus positif pada 2026 susulan peraturan baharu KKM – MBSB Research
image is not available
liza08/12/2025 - 10:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Dis – Sektor penjagaan kesihatan di Malaysia dijangka terus mencatat prestasi positif pada 2026 hasil tindakan pengawalseliaan terhadap pentadbir pihak ketiga (TPA) dan organisasi pengurusan penjagaan (MCO) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan meningkatkan ketelusan, kawalan kos, serta memastikan keselamatan pesakit tidak terjejas, kata MBSB Research.

 

KKM baru-baru ini mengarahkan penubuhan Pendaftaran Nasional TPA/MCO, yang menetapkan bahawa semua pengendali mesti menyerahkan maklumat lengkap menjelang 31 Januari 2026. 

 

Mereka yang gagal mematuhi boleh dikenakan denda RM100,000 hingga RM300,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

 

Seiring dengan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan empat langkah interim bagi meringankan kesan kenaikan premium, termasuk  kenaikan premium selama tiga tahun, perlindungan khas untuk pemegang polisi warga emas, dan penawaran polisi alternatif dengan premium lebih rendah.

 

MBSB Research berkata, walaupun inflasi kos perubatan nasional dilaporkan 15% oleh BNM, data dari PMCare, TPA tertua di Malaysia, menunjukkan kos perubatan dalaman mereka lebih rendah. 

 

“Contohnya, kos lawatan doktor umum meningkat 10%, manakala kos pakar menurun 2.1% disebabkan strategi pengurusan kes dan penggunaan model gatekeeper.

 

“Hospital swasta dijangka menghadapi cabaran susulan peraturan baharu yang diperkenalkan oleh KKM ini yang memfokuskan kawalan kos, ketelusan harga dan memastikan keputusan rawatan dibuat oleh doktor, bukan pihak pentadbir insurans. 

 

“Hospital besar seperti IHH Healthcare Bhd dan KPJ Healthcare Bhd perlu menyesuaikan operasi mereka supaya tetap berdaya saing,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Antara langkah yang disarankan ialah meningkatkan kecekapan melalui sistem yang menilai kos berbanding hasil rawatan, serta bersedia dengan sistem bayaran baru berdasarkan jenis penyakit (DRG). 

 

Hospital juga digalakkan mencari sumber pendapatan tambahan, termasuk menarik pesakit dari luar negara melalui pelancongan perubatan, supaya tidak terlalu bergantung kepada tuntutan insurans tempatan.

 

Selain itu, ketelusan harga rawatan dan membina kepercayaan pesakit menjadi lebih penting. 

 

Dengan menunjukkan kos sebenar dan memastikan rawatan dijalankan mengikut standard klinikal, hospital boleh mengekalkan reputasi dan menarik lebih ramai pesakit, sekaligus memastikan operasi jangka panjang yang mampan.

 

MBSB Research mengekalkan penilaian Positif bagi sektor kesihatan, dengan jangkaan bahawa reformasi pengawalseliaan, penggunaan sistem DRG, dan pengenalan produk insurans asas akan menyokong pertumbuhan mampan. - DagangNews.com

Terkini standard