IP mampu pacu ekonomi sukan dalam tempoh 10 tahun - MyIPO

26 Apr 2026 • 2:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: IP mampu pacu ekonomi sukan dalam tempoh 10 tahun - MyIPO
Sebahagian pengamal media yang menyertai HHIN Media Pickleball Media di Petaling Jaya pada Ahad.

PETALING JAYA – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyasarkan harta intelek (IP) mampu menjadi pemacu utama ekonomi sukan negara dalam tempoh 10 tahun akan datang seiring peningkatan inovasi tempatan.

Ketua Pengarahnya, Yusnieza Syarmila Yusof berkata, ini kerana trend semasa menunjukkan peningkatan positif dalam kalangan pencipta tempatan walaupun ketika ini Malaysia masih dilihat sebagai pengguna kepada produk luar.

Menurutnya, sebanyak 28.5 peratus pendaftaran IP dalam industri sukan datang daripada inovator tempatan, sekali gus memberi petanda awal ke arah perubahan landskap industri itu.

"Kita nampak jenama tempatan sudah mula berkembang termasuk pengeluaran kasut sukan dan produk berkaitan.

"Dalam tempoh 10 tahun, kita harap Malaysia bukan lagi sekadar pengguna, tetapi menjadi negara pemilik yang melahirkan lebih banyak inovasi serta pendaftaran IP,” katanya ketika ditemui semasa Hari Harta Intelek Negara (HHIN) Media Pickleball Media di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Yusnieza berkata, setakat ini terdapat 128 permohonan paten berkaitan sektor sukan diterima meliputi pelbagai inovasi termasuk teknologi baharu, peralatan dan produk harian seperti pakaian sukan serta minuman tenaga.

"Ramai tidak sedar produk seperti tudung sukan atau minuman tenaga juga adalah harta intelek yang perlu dilindungi bukan hanya teknologi tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui tiada dasar khusus buat masa ini bagi atlet atau penggiat sukan melindungi IP mereka, namun MyIPO sedang meneliti keperluan memperkenalkan pendekatan lebih tersusun mengikut sektor.

"Kita nampak potensi itu dan akan bincangkan di peringkat pengurusan untuk memperkenalkan inisiatif lebih khusus bukan lagi secara umum,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, usaha meningkatkan kesedaran mengenai IP akan diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk media dan institusi pendidikan.

"Kita sudah jalankan program di sekolah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tetapi selepas ini pendekatan akan lebih fokus kepada sektor tertentu termasuk industri sukan.

"Peranan media juga penting untuk membantu mendidik masyarakat supaya lebih faham kepentingan perlindungan IP,” jelas beliau.

Menurutnya, MyIPO juga akan memperluas kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperkasakan ekosistem IP dengan Selangor kekal sebagai penyumbang tertinggi pendaftaran setakat ini diikuti Pulau Pinang, Johor, Perak dan Melaka.

"Langkah ini penting bagi memastikan inovasi tempatan dapat dikomersialkan secara lebih meluas sekali gus meningkatkan daya saing negara di peringkat global," tambah beliau.