iPad Pro 2022 diperkasa Apple M2, boleh tangkap dan edit video ProRes sekali harung

Digital
19 Oct 2022 • 2:18 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Berbeza dengan iPad 2022 yang menerima banyak naik taraf, iPad Pro 2022 hanya ada sedikit perubahan berbanding tahun lepas. Paling utama adalah penggunaan cip Apple M2 yang baru, menggantikan cip Apple M1.

Di samping itu, Apple mengumumkan bahawa ada fungsi baru untuk Apple Pencil di tablet ini. Ia juga datang bersama keupayaan WiFi dengan kapasiti lebih tinggi.

image is not available

Pada bahagian paparan, skrin iPad Pro dilihat tidak banyak berubah. Ia kini hadir dalam dua pilihan, 11-inci Liquid Retina Display dan 12.9-inci Liquid Retina XDR Display dengan mini-LED di belakangnya.

Tawaran storan juga tidak berbeza, dengan pilihan sangat luas dari serendah 128GB sehingga sebesar 2TB. RAM untuk 3 storan terkecil adalah 8GB, manakala model 1TB dan 2TB diberi pilihan untuk memuatkan RAM sehingga 16GB.

Berita paling penting sudah pasti tentang cip Apple M2 yang baru. Apple menggayakan iPad Pro 2022 dengan kuasa CPU 8-teras, GPU 10-teras dan Enjin Neural 16-teras. Ia juga menawarkan jalur lebar memori 100GB/s, 50% kapasiti lebih berbanding M1. Menurut Apple, iPad Pro M2 ini ada prestasi CPU 15% lebih pantas, sehingga 35% grafik lebih laju dan sehingga 40% kuasa pemproses enjin neural daripada cip M1.

image is not available

Kuasa lebih tinggi di M2 juga membolehkan enjin media dan pemproses signal imej digunakan untuk menangkap video ProRes dari kamera di tablet dan diproses terus sehingga 3x lebih pantas.

Ciri baru Apple Pencil bukanlah bermakna ia perlukan model baru. iPad Pro 2022 masih menyokong Apple Pencil Gen-2 tetapi kini ditambah fungsi ‘hover’ atau berlegar di atas skrin tanpa menyentuhnya. Ia direalisasikan dengan naik taraf di iPadOS 16, membolehkan Apple Pencil dikesan dari jarak 12mm daripada skrin. Ia akan menunjukkan titik jarak jauh, agak serupa dengan ciri hover di S Pen Samsung.

image is not available

Antara perkara yang boleh dilakukan dengan ciri hover ini adalah membesarkan kotak perkataan sebelum mula menulis dan memperlihatkan contoh sebelum mula melakar atau melukis.

Kapasiti penghantaran data wayarles ditambah di iPad Pro 2022 dengan sokongan baru WiFi 6E. Menurut Apple, ia membolehkan prestasi WiFi digandakan dengan kelajuan mencecah 2.4GBpz, jika bersambung ke Router WiFi 6W dan jalur lebar internet berkelajuan tinggi.

image is not available

Harga dan tarikh jualan

Sama seperti semua produk Apple yang dilancar tahun ini, iPad Pro 2022 juga tidak dapat mengelak dari kenaikan harga yang sangat tinggi. Jika dibandingkan dengan iPad Pro 2021 semasa dilancar tahun lepas, kenaikan harganya sekitar RM400 ke RM1,250 lebih tinggi.

Berikut adalah harga rasmi iPad Pro 2022 di Malaysia:

11″ iPad Pro WiFi

  • 128GB RM3,899
  • 256GB RM4,399
  • 512GB RM5,399
  • 1TB RM7,399
  • 2TB RM9,399

11″ iPad Pro WiFi + Cellular

  • 128GB RM4,649
  • 256GB RM5,149
  • 512GB RM6,149
  • 1TB RM8,149
  • 2TB – RM10,149

12.9″ iPad Pro WiFi

  • 128GB RM5,399
  • 256GB RM5,899
  • 512GB RM6,899
  • 1TB RM8,899
  • 2TB- RM10,899

12.9″ iPad Pro WiFi + Cellular

  • 128GB RM6,149
  • 256GB RM6,649
  • 512GB RM7,649
  • 1TB RM9,649
  • 2TB- RM11,649

image is not available

Tarikh jualan iPad Pro 2022 di Malaysia masih belum diketahui kerana laman web Apple Malaysia hanya menyatakan, ia akan datang tidak lama lagi. Nantikan pengumuman dari kami sebaik sahaja Apple Malaysia memaklumkan tarikh jualannya di sini.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web iPad Pro 2022.