IPCC terima 1,635 aduan sejak 2023 sehingga 24 Julai lalu

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 12:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: IPCC terima 1,635 aduan sejak 2023 sehingga 24 Julai lalu

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menerima sebanyak 1,635 aduan sejak ia mula dikuatkuasa pada 2023 sehingga 24 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada keseluruhan jumlah aduan yang diterima sejak 2023, sebanyak 844 aduan atau kira-kira 76 peratus telah diselesaikan, manakala bagi tahun ini sehingga 24 Julai lalu, IPCC merekodkan 372 aduan.

Menurutnya, sebanyak 22 kertas siasatan telah dibuka sejak 2023 dengan lima daripadanya dibuka pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, 11 kertas siasatan telah selesai manakala baki 11 lagi masih dalam tindakan.

“Kalau aduan itu mempunyai elemen rasuah, IPCC akan menyalurkannya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kerana IPCC tidak mempunyai kepakaran seperti SPRM dalam menyiasat kes-kes rasuah.

“Begitu juga jika aduan itu melibatkan unsur jenayah, maka ia akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah kerana perkara tersebut berada dalam bidang kuasa mereka,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Terdahulu, Saifuddin menyaksikan penyerahan Poster Aduan IPCC sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh integriti dan akauntabiliti anggota pasukan polis melalui kerjasama strategik pelbagai pihak.

Poster berkenaan akan dipamerkan di sudut informasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan IPCC serta saluran aduan yang disediakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kategori aduan paling tinggi diterima ialah ketidakpuasan hati pengadu kerana tidak menerima sebarang maklum balas berhubung laporan atau aduan yang dikemukakan kepada pihak polis.

“Contohnya, mereka membuat aduan kepada pihak polis, kemudian tiada perkembangan atau tindakan susulan. Jadi, kategori aduan tertinggi yang diterima ialah ketidakpuasan hati kerana tiada maklum balas terhadap siasatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa IPCC yang baru menghampiri tiga tahun penubuhannya mempunyai bidang kuasa yang diperuntukkan secara jelas di bawah Akta IPCC dan tidak mengambil alih fungsi agensi penguat kuasa lain.

“Walaupun secara relatif jumlah 1,635 aduan itu tidak begitu tinggi, ia tetap menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap kewujudan IPCC,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 12 anggotanya yang disyaki terbabit dalam kes memeras ugut seorang lelaki warga asing membuktikan pasukan itu tidak berkompromi terhadap salah laku dalam kalangan anggotanya sendiri.

“Hakikat bahawa pihak polis menangkap, menahan dan mengambil tindakan, ini adalah mesej yang jelas bahawa PDRM tidak akan sama sekali bertolak ansur, sekali pun terhadap anggotanya sendiri,” katanya.

Semalam, media melaporkan, polis menahan seramai 12 anggota polis pelbagai pangkat selepas dipercayai memeras ugut seorang lelaki warga Vanuatu sebanyak RM2 juta.- KOSMO! ONLINE

The post IPCC terima 1,635 aduan sejak 2023 sehingga 24 Julai lalu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved