IPF mohon jadi komponen BN bermula di Pulau Pinang

LocalPolitics
27 Sep 2026 • 7:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: IPF mohon jadi komponen BN bermula di Pulau Pinang
IPF memohon untuk diterima sebagai parti komponen BN bermula di peringkat negeri Pulau Pinang sebelum diperluaskan ke peringkat kebangsaan. - Gambar kecil (T Loganathan)

BUTTERWORTH - Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) memohon untuk diterima sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) bermula di peringkat negeri Pulau Pinang sebelum diperluaskan ke peringkat kebangsaan.

Presiden IPF, Datuk T Loganathan berkata permohonan itu dibuat berdasarkan kesetiaan parti berkenaan kepada BN sejak sekian lama meskipun tidak mempunyai jawatan atau menerima sebarang habuan.

Beliau berkata, IPF kekal bersama BN walaupun gabungan itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 ketika beberapa parti komponen lain mengambil keputusan meninggalkan gabungan berkenaan.

"IPF berharap permohonan untuk menjadi parti komponen BN dapat diberikan perhatian dengan Pulau Pinang menjadi titik permulaan sebelum usaha itu dibawa ke peringkat kebangsaan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan IPF Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau juga berharap kepimpinan BN dapat mempertimbangkan peluang kepada IPF untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri yang bersesuaian dan berpotensi menang.

Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Kadir berkata, beliau akan membawa permohonan itu ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum dikemukakan kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN.

Musa berkata IPF Pulau Pinang adalah antara pertubuhan yang aktif menyokong BN, termasuk ketika pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved