IPO cabang pembinaan IJM serlahkan prospek pertumbuhan, potensi nilai cecah RM4 bilion – Penganalisis

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IPO cabang pembinaan IJM serlahkan prospek pertumbuhan, potensi nilai cecah RM4 bilion – Penganalisis Image from: IPO cabang pembinaan IJM serlahkan prospek pertumbuhan, potensi nilai cecah RM4 bilion – Penganalisis liza03/06/2026 - 09:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jun – Cadangan tawaran awam permulaan (IPO) cabang pembinaan IJM Corporation Berhad dijangka mampu membuka nilai ekuiti sehingga RM4 bilion dan bakal menjadi pemangkin utama kepada pelan pengagihan modal syarikat kepada pemegang saham dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata penganalisis.

 

Langkah penyenaraian itu juga berpotensi memberi rangsangan besar kepada sasaran pengagihan modal sebanyak RM3 bilion yang diumumkan kumpulan berkenaan sebelum ini.

 

Penganalisis berkata, IPO itu dijangka mampu menjana hasil sekitar RM1.2 bilion kepada IJM melalui penjualan sebahagian pegangan dalam unit pembinaannya kepada pelabur awam.

 

Langkah itu turut disifatkan sebagai usaha “membuka nilai” kerana pasaran ketika ini dipercayai masih meletakkan diskaun terhadap perniagaan pembinaan IJM walaupun kumpulan tersebut mempunyai skala operasi besar serta buku tempahan projek yang kukuh.

 

IJM ketika ini mempunyai lima segmen utama perniagaan meliputi pembinaan, pembangunan hartanah, pembuatan dan kuari, pelabuhan serta konsesi lebuh raya bertol dengan operasi di beberapa negara.

 

CGS International berkata, penyenaraian yang dijangka dilaksanakan menjelang September tahun depan itu berpotensi memberikan nilai ekuiti antara RM3 bilion hingga RM4 bilion.

 

Menurut firma penyelidikan itu, IPO berkenaan akan melibatkan operasi pembinaan IJM di Malaysia dan Singapura yang mempunyai gabungan buku tempahan bernilai RM9.65 bilion setakat Mac lalu.

 

Bagaimanapun, CGS International berkata, masa pelaksanaan IPO amat penting dan perlu seiring dengan momentum pertumbuhan sektor pusat data serta pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar oleh kerajaan.

 

“Margin keuntungan sebelum cukai perniagaan pembinaan IJM perlu bergerak ke paras lebih tinggi dalam julat normal enam hingga sembilan peratus bagi memastikan syarikat kekal kompetitif selepas penyenaraian,” kata CGSI.

 

Sementara itu, TA Securities Holdings Berhad menganggarkan perniagaan pembinaan IJM boleh dinilai sekitar RM2.6 bilion berdasarkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2026 serta nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 17 kali.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penyenaraian tersebut akan menjadikan cabang pembinaan IJM sebagai syarikat yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan pembinaan dan memudahkan pelabur menilai prestasi dan potensi pertumbuhannya dengan lebih jelas.

 

“Ini kerana pelabur boleh menilai secara berasingan kualiti pendapatan, margin keuntungan serta prospek pertumbuhan perniagaan pembinaan tanpa dicampur dengan aset lebuh raya bertol, hartanah dan industri milik kumpulan itu,” kata TA Securities.

 

Menurut pemerhati industri, segmen pembinaan kini merupakan antara perniagaan IJM yang menunjukkan pemulihan pendapatan paling ketara selain memiliki momentum pelaksanaan projek yang semakin kukuh.

 

t

 

Penyenaraian secara berasingan itu juga dijangka meningkatkan ketelusan penilaian syarikat dan membuka ruang kepada penarafan semula sektor yang lebih tepat oleh pasaran.

 

Cabang pembinaan IJM itu difahamkan mempunyai buku tempahan sekitar RM14.7 bilion merangkumi projek infrastruktur domestik, fasiliti perindustrian serta kontrak berkaitan pusat data yang berkembang pesat.

 

Gabungan projek tersebut dilihat semakin penting ketika sektor pembinaan Malaysia kini beralih kepada kerja industri serta elektrikal dan mekanikal yang menawarkan margin lebih tinggi berbanding projek kejuruteraan awam tradisional.

 

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Berhad berkata IPO berkenaan dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh kira-kira 12 bulan selepas semua proses kelulusan kawal selia dimuktamadkan.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, tempoh sebenar pelaksanaan masih bergantung kepada keadaan pasaran dan sentimen pelabur terhadap sektor pembinaan.

 

Pemerhati pasaran pula menjangkakan struktur IPO tersebut akan menggunakan model penjualan sebahagian pegangan (partial sell-down), di mana IJM akan mengekalkan pegangan kawalan selepas penyenaraian selesai.

 

Langkah itu membolehkan kumpulan berkenaan menjana tunai segera daripada penjualan pegangan minoriti sambil terus mengekalkan kawalan terhadap perniagaan pembinaan tersebut.

 

Selepas IPO selesai, penganalisis menjangkakan IJM akan menggunakan hasil penyenaraian bersama keuntungan daripada pengewangan aset dan lebuh raya bertol bagi menyokong program pulangan modal RM3 bilion kepada pemegang saham menerusi dividen dan kemungkinan agihan khas.

 

Dalam pada itu, CIMB Investment Bank Berhad menyifatkan penyenaraian cabang pembinaan itu sebagai langkah pertama paling penting dalam pelan pengurusan modal IJM yang lebih luas.

 

Menurut CIMB, IPO tersebut bukan sahaja meningkatkan ketelusan penilaian syarikat, malah membantu mewujudkan kecairan lebih baik yang boleh menyokong pembayaran pulangan kepada pemegang saham pada masa depan.

 

Walaupun prospek IPO itu dilihat positif, penganalisis mengingatkan bahawa pelaksanaan kekal menjadi faktor utama, khususnya melibatkan masa penyenaraian, minat pelabur terhadap sektor pembinaan serta keupayaan syarikat mengekalkan momentum pendapatan selepas pemisahan perniagaan.

 

Namun, sentimen terhadap IJM kekal konstruktif disokong oleh projek pembinaan yang semakin berkembang, peningkatan pendedahan kepada projek pusat data serta permintaan infrastruktur yang terus kukuh. - DagangNews.com

Terkini featured standard