liza03/06/2026 - 10:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun – Penurunan hasil Mah Sing Group Berhad pada suku pertama tahun kewangan 2026 berlaku akibat kerja pembinaan yang lebih perlahan serta kesan musim perayaan yang menjejaskan pengiktirafan pendapatan berdasarkan kemajuan kerja, kata penganalisis.
Namun, penganalisis berpendapat ia bersifat sementara kerana keuntungan masih stabil, margin bertambah baik dan prospek syarikat kekal disokong oleh pelancaran projek baharu serta tempahan jualan yang kukuh.
Tiga firma penyelidikan iaitu CGS International, MBSB Research dan RHB Research secara konsisten berpandangan prestasi suku pertama tahun kewangan 2026 bagi Mah Sin adalah selari dengan jangkaan pasaran dengan keuntungan masih kekal stabil dan berada dalam lingkungan unjuran penganalisis.
Selain itu, semua firma tersebut berkata margin keuntungan syarikat kekal kukuh sekitar 31%, disokong oleh penjimatan kos pembinaan, pelaksanaan projek yang hampir siap serta kecekapan operasi yang lebih baik dalam kumpulan.
CGSI mengekalkan saranan “Tambah” dengan harga sasaran RM1.80 dengan pandangan prospek pertumbuhan syarikat kekal kukuh sehingga tahun kewangan 2028, disokong oleh margin yang stabil serta pelancaran projek baharu.
Menurut CGS, penilaian saham ketika ini masih menarik kerana diniagakan pada paras sekitar tujuh kali nisbah harga kepada pendapatan, iaitu lebih rendah berbanding purata sektor hartanah yang memberi ruang kepada peningkatan semula penilaian sekiranya jualan terus kukuh.
CGS juga melihat potensi tambahan daripada pembangunan pusat data yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, yang boleh menjadi pemangkin nilai jangka panjang kepada syarikat.
“Jualan hartanah dan deretan projek yang besar akan terus menyokong pertumbuhan pendapatan pada tahun-tahun akan datang,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Mah Sing naik 3.1% kepada RM68.08 juta pada 1QFY2026
Sementara itu, MBSB Research pula mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran RM1.25 berdasarkan diskaun 50% kepada nilai aset bersih pelarasan syarikat.
Firma itu menyatakan kekuatan utama Mah Sing Group Berhad terletak pada jualan stabil dalam segmen rumah mampu milik yang terus mendapat permintaan konsisten di pasaran.
“Aliran pendapatan syarikat disokong oleh margin yang stabil serta pengurusan kos yang berkesan, walaupun pertumbuhan tidak terlalu agresif.
“Selain itu, pulangan dividen sekitar 5% menjadikan saham ini lebih sesuai sebagai pilihan pelaburan defensif untuk pelabur jangka sederhana,” katanya.
Dalam pada itu, RHB Research juga mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran RM1.40, namun menurunkan sedikit sasaran sebelum ini berikutan mengambil kira risiko geopolitik global yang boleh memberi kesan kepada kos bahan binaan dan sentimen pasaran.
Walaupun begitu, RHB menyifatkan prestasi jualan syarikat masih “menggalakkan” dengan pencapaian jualan lima bulan pertama tahun kewangan 2026 sebanyak RM978 juta, yang berada di landasan untuk mencapai sasaran tahunan.
“Rangkaian pelancaran projek bernilai lebih RM2 bilion serta jualan belum ditagih sekitar RM3.3 bilion terus memberi sokongan kukuh kepada keterlihatan pendapatan syarikat.
“Kami berpandangan asas perniagaan Mah Sing Group Berhad masih kukuh, dengan pertumbuhan stabil walaupun terdapat risiko luaran yang perlu dipantau oleh pelabur,” katanya. - DagangNews.com






