liza11/05/2026 - 18:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Mei – Operator perkhidmatan kerusi urut layan diri jenama “Rest N Go” iaitu RNG Tech Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd bagi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
IPO RNG Tech melibatkan terbitan sebanyak 126.1 juta saham baharu, mewakili kira-kira 16.0 peratus daripada modal saham diperbesarkan syarikat.
Selain itu, sebanyak 78.8 juta saham sedia ada turut ditawarkan untuk dijual, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada modal saham diperbesarkan.
Daripada jumlah terbitan saham baharu itu, 39.4 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam manakala 11.8 juta saham pula diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan melalui peruntukan Borang Merah Jambu.
Baki 74.9 juta saham terbitan baharu akan ditempatkan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Bagi saham tawaran jualan pula, 23.6 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera terpilih di bawah kelulusan MITI, manakala baki 55.2 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Di bawah perjanjian penaja jamin tersebut, M&A Securities akan menaja jamin sebanyak 51.2 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam dan peruntukan borang merah jambu.
Syarikat itu dikatakan operator terbesar perkhidmatan kerusi urut layan diri di Malaysia di bawah jenama “Rest N Go”, dengan pegangan kira-kira 69.3 peratus bahagian pasaran pada tahun 2024.
RNG Tech mengendalikan perkhidmatan urut layan diri melalui mesin yang ditempatkan di lokasi bertrafik tinggi seperti pusat beli-belah, lapangan terbang dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya.

Operasi kumpulan bermula pada tahun 2009 apabila RNG Tech membuka stesen RNG pertamanya di Selayang Mall, Selangor sebelum berkembang secara agresif ke peringkat serantau.
Setakat 31 Julai 2025, kumpulan tersebut memiliki dan mengendalikan sebanyak 4,146 kerusi urut layan diri di Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei Darussalam.
Selain itu, sebanyak 2,340 kerusi urut tambahan turut beroperasi di Vietnam dan Filipina melalui model pelesenan, menjadikan jumlah kehadiran kumpulan lebih meluas di Asia Tenggara.
Infrastruktur operasi syarikat turut disokong oleh sistem digital bersepadu termasuk sistem bacaan meter dan aplikasi mudah alih RNG yang membolehkan pemantauan masa nyata, pembayaran digital serta interaksi pelanggan.
Pengarah Urusan RNG Tech, Datin Sophia Tan Sok Fei berkata pemeteraian perjanjian ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan syarikat menuju penyenaraian awam.
Beliau berkata IPO ini akan membolehkan kumpulan mempercepatkan rancangan pengembangan, khususnya dalam memperluaskan rangkaian mesin urut di lokasi strategik bertrafik tinggi di dalam dan luar negara.
Menurut beliau, dana yang diperoleh juga akan digunakan bagi meningkatkan pengalaman pelanggan di stesen RNG serta outlet premium, selain memperkukuh jenama Rest N Go di peringkat serantau.
RNG Tech berkata dengan sokongan rangkaian sedia ada, sistem digital bersepadu dan kehadiran serantau yang kukuh, kumpulan berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan permintaan terhadap perkhidmatan urut layan diri yang mudah dan mampu milik.
M&A Securities Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh M&A Equity Holdings Berhad dan akan memainkan peranan sebagai penasihat, penaja, penaja jamin serta ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com






