IPO Gold Li Holdings di Pasaran ACE raih sambutan memberangsangkan, terlebih langgan 3.26 kali

LocalBusiness & Finance
8 May 2026 • 5:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IPO Gold Li Holdings di Pasaran ACE raih sambutan memberangsangkan, terlebih langgan 3.26 kali Image from: IPO Gold Li Holdings di Pasaran ACE raih sambutan memberangsangkan, terlebih langgan 3.26 kali liza08/05/2026 - 17:52 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Mei – Tawaran awam permulaan (IPO) Gold Li Holdings Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia mendapat permintaan memberangsangkan apabila mencatatkan kadar terlebih langganan sebanyak 3.26 kali.

 

IPO berkenaan melibatkan terbitan 117 juta saham baharu serta tawaran jualan 36 juta saham sedia ada, menjadikan keseluruhan 153 juta saham atau 25.5 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.

 

Daripada terbitan saham baharu tersebut, sebanyak 30 juta saham atau 5 peratus diperuntukkan kepada pelabur awam Malaysia, 6 juta saham atau 1 peratus kepada pengarah, pekerja serta individu yang layak, 42 juta saham atau 7 peratus melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, serta 39 juta saham atau 6.5 peratus melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Bagi tawaran jualan pula, sebanyak 36 juta saham atau 6 peratus daripada modal diperbesarkan turut ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

 

Secara keseluruhan, IPO ini menerima sebanyak 4,591 permohonan bagi 127,804,600 saham daripada pelabur awam Malaysia, menjadikan kadar terlebih langganan 3.26 kali.

 

Daripada jumlah itu, kategori Bumiputera awam mencatat 2,105 permohonan bagi 32,922,600 saham dengan kadar terlebih langganan 1.19 kali, manakala kategori bukan Bumiputera merekodkan 2,486 permohonan bagi 94,882,000 saham dengan kadar 5.33 kali.

 

Pengarah Urusan Gold Li Holdings Berhad, Datuk Lee Tiau Huat berkata sambutan tersebut membuktikan keyakinan pelabur terhadap rekod prestasi kumpulan yang telah beroperasi selama 27 tahun dalam sektor pembangunan hartanah di Johor.

 

Beliau berkata hasil IPO akan digunakan terutamanya sebagai modal kerja bagi menyokong aktiviti pembangunan projek sedia ada dan akan datang, termasuk kerja pembinaan dan infrastruktur, di samping menampung anggaran kos penyenaraian.

 

Antara projek yang akan dibiayai termasuk Taman Permatang Pasir II, Taman Kesang Mewar, Taman Naib Kadir Suria serta Lot 3797 di Mukim Linau yang terletak di Johor.

 

Syarikat itu mempunyai rekod pembangunan lebih 110 projek kediaman dan komersial di Muar, Tangkak dan Batu Pahat, selain memiliki tanah seluas kira-kira 47.3 ekar untuk pembangunan masa hadapan.

 

Saham Gold Li Holdings Berhad dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Mei 2026 dengan M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard