Feytech raih kontrak RM96.83 juta bekalkan sarung tempat duduk kepada Proton

LocalBusiness & Finance
4 May 2026 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Feytech raih kontrak RM96.83 juta bekalkan sarung tempat duduk kepada Proton Image from: Feytech raih kontrak RM96.83 juta bekalkan sarung tempat duduk kepada Proton liza04/05/2026 - 12:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Mei – Feytech Holdings Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri automotif serantau selepas memperoleh kontrak baharu bernilai RM96.83 juta bagi membekalkan sarung tempat duduk untuk model Proton AMA02.

 

Kontrak tersebut merangkumi tempoh selama 84 bulan atau tujuh tahun, menjadikannya antara perjanjian jangka panjang penting bagi kumpulan dalam segmen pembuatan komponen automotif.

 

Di bawah perjanjian tersebut, unit pembuatan trim kulit Feytech iaitu Gosford Leather Industries Sdn Bhd telah dilantik sebagai pembekal pengeluar peralatan asal (OEM) bagi sistem tempat duduk untuk model SUV baharu Proton tersebut.

 

Model Proton AMA02 itu dibangunkan berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA) 02, iaitu seni bina modular yang digunakan Proton untuk membangunkan rangkaian model baharu secara lebih fleksibel dan efisien.

 

SUV baharu ini dijangka dilancarkan dalam tahun ini sebagai kenderaan kompak dalam segmen A iaitu kategori kenderaan kecil mampu milik.

 

Ia akan bersaing secara langsung dengan model popular dalam pasaran tempatan seperti Perodua Ativa serta Honda WR-V.

 

Menurut sumber industri, model tersebut turut dikaitkan secara spekulatif dengan nama Saga Cross, walaupun Proton belum mengesahkan penggunaan nama itu secara rasmi.

 

Proton sebelum ini telah mendedahkan beberapa platform baharu iaitu AMA02, AMA05 dan AMA06 sebagai pelan jangka panjang untuk menggantikan model lama seperti Persona, Iriz, Exora serta Saga generasi terdahulu.

 

Langkah itu dilihat sebagai usaha transformasi Proton untuk memperkukuh kedudukan dalam segmen bawah RM80,000 yang semakin kompetitif di pasaran tempatan.

 

t
Connie Go

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go berkata kontrak ini merupakan kesinambungan hubungan jangka panjang dengan Proton yang telah terjalin sejak tahun 2012.

 

Beliau berkata Feytech telah berkembang seiring dengan pertumbuhan industri automotif negara dan terus komited menyokong pengeluar kereta nasional dalam fasa pengembangan produk baharu mereka.

 

Dalam perkembangan lain, Feytech turut mengukuhkan operasi serantau melalui usaha sama dengan Wuhu Ruitai Auto Parts Co. Ltd dari China menerusi FTRT Autoparts Sdn Bhd.

 

Syarikat usaha sama itu kini terlibat dalam pengeluaran tempat duduk untuk beberapa model Chery termasuk Jaecoo J7, Jetour serta Omoda 5.

 

FTRT Autoparts akan memulakan pengeluaran tempat duduk bagi model Chery Tiggo 7 dan Tiggo 7 Pro bermula Julai tahun ini di fasiliti khusus di Subang.

 

FTRT ditubuhkan bagi memenuhi keperluan setempat pengeluar OEM dari China yang beroperasi di Malaysia di bawah rangka kerja pemasangan lengkap CKD.

 

Chery, yang kembali memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2023 telah mencatat jualan terkumpul melebihi 30,000 unit sejak pelancaran semulanya.

 

Menurut Feytech, kedua-dua program bersama Proton dan Chery ini selari dengan strategi kumpulan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pembekal tahap satu (Tier-1 supplier) kepada pengeluar OEM domestik dan serantau. - DagangNews.com

Terkini standard