IPO pertama Arab Saudi sejak kegawatan tarif berjaya tarik tempahan lebih AS$20 bilion

WorldBusiness & Finance
7 May 2025 • 9:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IPO pertama Arab Saudi sejak kegawatan tarif berjaya tarik tempahan lebih AS$20 bilion

image is not available

07/05/2025 - 09:36

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pengeluar produk pembungkusan Arab Saudi, United Carton Industries Co berjaya menarik tempahan lebih AS$20 bilion (RM85.13 bilion) bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.

Ia memberikan gambaran, permintaan pelabur terhadap penyenaraian di Asia Barat kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan akibat tarif timbal balas.

Syarikat itu dijangka mengumpul 600 juta riyal (RM680.36 juta) menerusi penjualan saham kali pertama, menurut satu kenyataan.

Harga akhir tawaran ditetapkan pada 50 riyal sesaham, iaitu pada tahap tertinggi dalam julat harga yang dipasarkan, sekali gus memberi implikasi kepada permodalan pasaran sekitar dua bilion riyal.

Menurut laporan Bloomberg bulan lalu, semua saham telah mendapat permintaan dalam beberapa jam pertama pembukaan langganan.

Asia Barat telah menjadi pusat IPO dalam beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun jumlah penyenaraian global merosot.

Pegawai bank yang memberi tumpuan kepada rantau itu berkata, mereka belum melihat kesan ketara terhadap barisan urus niaga mereka akibat tarif Amerika Syarikat (AS) tetapi memberi amaran, harga minyak yang rendah boleh menjejaskan pertumbuhan.

United Carton merupakan antara syarikat serantau yang meneruskan rancangan penyenaraian walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran.

Pengendali hospital Saudi, Specialized Medical Co, juga memulakan penyenaraian di Riyadh pada hari Ahad lalu, manakala syarikat penerbangan kos rendah Flynas dan firma teknologi Ejada Systems Ltd turut merancang melancarkan penyenaraian tidak lama lagi, menurut laporan Bloomberg News.

Di Dubai, sebuah konglomerat pelaburan yang dikawal oleh pemerintah mendedahkan rancangan pada hari Isnin untuk menyenaraikan portfolio hartanah kediamannya, bagi memanfaatkan ledakan hartanah di bandar tersebut.

Pendapatan United Carton pada 2024 berjumlah 1.3 bilion riyal, dengan syarikat itu menguasai sehingga 40% pasaran produk kotak di Arab Saudi, menurut prospektus IPO syarikat itu.

Al Rajhi Capital merupakan penasihat kewangan dan pengurus utama bagi urus niaga itu. - DagangNews.com

standard