IPO Prolintas Infra BT catat lebihan langganan 3.59 kali
herman
14/03/2024 - 16:50
KUALA LUMPUR 14 Mac - Tawaran awam permulaan (IPO) Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) melibatkan 27.5 juta saham terbitan untuk orang awam Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 3.59 kali.
Prolintas Infra BT menerima 7,211 permohonan untuk 126.17 juta unit, dengan nilai berjumlah RM119.9 juta, berbanding 27.5 juta unit yang ditawarkan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia,
Amanah perniagaan pertama patuh syariah itu yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) pada 25 Mac ini menyaksikan 2,881 permohonan untuk 32.34 juta unit bahagian Bumiputera diterima, mewakili kadar terlebih langganan 1.35 kali.
Sementara itu, 4,330 permohonan untuk 93.82 juta unit IPO telah diterima di bawah bahagian orang awam Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan 5.82 kali.
Tawaran institusi yang merangkumi 422.95 juta unit IPO telah ditawarkan kepada institusi dan pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah dilanggan sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati dengan respons langganan memberangsangkan yang diterima oleh amanah perniagaan pertama disenaraikan di Malaysia, IPO Prolintas Infra BT.
"Ini mencerminkan keyakinan terhadap model perniagaan dan prospek pertumbuhan kami.
"Kami menerima baik keyakinan yang diletakkan terhadap kami dan akan kekal komited untuk menyampaikan pulangan dan nilai yang kukuh kepada pemegang unit kami,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Lapan pelabur asas diraih untuk IPO berkenaan, termasuk Permodalan Nasional Berhad, AHAM Asset Management Berhad, AIIMAN Asset Management Sdn Bhd, Lembaga Tabung Haji, Maybank Asset Management Sdn Bhd, Maybank Islamic Asset Management Sdn Bhd, Kenanga Investors Berhad, dan Kenanga Islamic Investors Berhad, yang secara bersama melanggan untuk 70.9% daripada tawaran institusi.
AmInvestment Bank Bhd merupakan penasihat utama bagi IPO serta penaja jamin bersama dan penaja jamin dengan CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd.
RHB Investment Bank Bhd juga merupakan penaja jamin bersama.- DagangNews.com
