IPO SpaceX Terbesar Dalam Sejarah Dunia – Mengumpul Dana $75 Bilion

Business & FinanceSpace
12 Jun 2026 • 10:03 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

IPO SpaceX Terbesar Dalam Sejarah Dunia – Mengumpul Dana $75 Bilion

Penyenaraian awal awam (IPO) saham SpaceX berjaya mengumpul dana $75 bilion (~RM 304 bilion) sekaligus menjadikannya IPO terbesar dalam sejarah dunia. Ia jauh meninggalkan IPO Saudi Aramco ($29.4), Alibaba Group ($25 bilion), SoftBank Corp $23.5 bilion (2018) dan General Motors ($20.1 bilion).

SpaceX menetapkan harga IPO pada $135 untuk satu saham dengan 555.56 juta saham ditawarkan. Ini sekaligus memberikan SpaceX nilai pasaran $1.77 trilion (~RM 7.18 trilion) berdasarkan 13.08 bilion saham beredar yang meletakkannya sebagai syarikat ke-8 paling bernilai dunia hari ini. Ia lebih bernilai daripada Saudi Aramco, Tesla, Meta, Samsung, Micron dan SK Hynix.

Image from: IPO SpaceX Terbesar Dalam Sejarah Dunia – Mengumpul Dana $75 Bilion
Satelit AI SpaceX

Seperti dilaporkan sebelum ini, walaupun saham kini ditawarkan kepada awam Elon Musk memegang 82% kuasa mengundi selepas IPO. Ketika laporan ditulis, nilai kekayaan peribadi Musk kini hampir $800 bilion meletakkan beliau jauh di hadapan dengan impian menjadi trilionwan pertama semakin hampir.

Walaupun IPO SpaceX adalah yang terbesar dalam sejarah, masih wujud kegusaran mengenai masa depan jangka panjang. Tahun lalu ia mencatatkan kerugian dengan pendapatan terbesar dijana oleh Starlink yang hanya mempunyai 12 juta pelanggan. Perniagaan pusat data xAI, media sosial X dan aeroangkasa SpaceX semuanya belum menjana keuntungan yang besar.

SpaceX kini dilabel sebagai sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) dan bukan syarikat aerongkasa. Pelan masa panjang seterusnya ialah membina pusat data AI di angkasa lepas menggunakan rangkaian satelit yang dilancarkan menggunakan Starship V3.