IPO THMY terlebih langganan 35.57 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

13/10/2025 - 16:36
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 13 Okt - Tawaran Awam Permulaan (IPO) THMY Holdings Berhad yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia terlebih langgan sebanyak 35.57 kali.
Kumpulan itu menerima sejumlah 16,052 permohonan bagi 1.62 bilion saham terbitan mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 35.57kali.
Katanya, bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 7,560 permohonan diterima untuk 642.06 juta saham terbitan, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 27.92 kali manakala bahagian awam, sebanyak 8,492 permohonan dikemukakan untuk 981.68 juta saham terbitan, menghasilkan kadar lebihan langganan sebanyak 43.22 kali.
Sebanyak 23.53 juta saham terbitan yang diperuntukkan untuk permohonan pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan dilanggan sepenuhnya.
Sementara itu, peruntukan persendirian sebanyak 53.78 juta saham terbitan kepada pelabur terpilih juga dilanggan sepenuhnya.
Selain itu, 22.2 juta saham terbitan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI juga dilanggan sepenuhnya selepas mengambil kira peruntukan semula yang relevan.
Affin Hwang Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi IPO itu.
Ia mengesahkan sejumlah 53.78 juta saham terbitan yang ditawarkan melalui penempatan persendirian telah berjaya diperuntukkan sepenuhnya.
Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 21 Oktober 2025.- DagangNews.com
standard
