Peningkatan permintaan kereta mampu milik, Kenanga jangka jenama nasional luaskan penguasaan pasaran pada 2025

10/10/2025 - 09:59
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 10 Okt - Kereta jenama nasional dijangka meluaskan penguasaan pasaran kepada 64% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun 2025 berbanding 58% pada tahun 2022 disokong peningkatan permintaan kenderaan mampu milik.
Kenanga Research berkata, pertambahan permintaan itu juga menyebabkan berlakunya penurunan bahagian pasaran jenama bukan nasional dengan tumpuan utama mereka kepada segmen kereta berharga RM100,000 ke atas.
Katanya, sekiranya persaingan terus meningkat dengan penempatan besar-besaran jenama asing secara tempatan dan pasaran menjadi semakin berpecah, prospek mencabar bagi jenama bukan nasional mungkin berterusan sehingga 2026.
Firma penyelidikan itu menjangkakan TIV tahun 2025 sebanyak 805,000 unit, dipacu permintaan kukuh yang berterusan dalam segmen mampu milik, serta subsidi bahan api yang diperluas kepada semua rakyat Malaysia, yang sebahagiannya menghapuskan ketidaktentuan dalam segmen pasaran pertengahan.
"Masih terdapat persaingan harga yang sengit daripada jenama China yang membanjiri pasaran dengan model baharu yang menarik serta bernilai tinggi untuk wang.
“Kami menjangkakan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan memperoleh manfaat paling besar dengan 44% bahagian pasaran TIV, berikutan kadar lokaliti tertinggi, pelancaran model baharu yang menarik – termasuk hibrid, EV dan Myvi serba baharu.
"Kenaikan gaji penjawat awam sejak Disember 2024, peningkatan gaji minimum mulai Februari 2025, serta pasaran buruh yang stabil juga akan memainkan peranan," katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research menjangkakan peralihan secara berperingkat kepada kenderaan elektrik (EV) yang kini menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta insentif kemudahan EV lain sehingga 2025 bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU) dan 2027 bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD).
“Kami juga berpandangan, penggunaan EV akan meningkat secara beransur-ansur, dan permintaan petrol akan memuncak.
“Namun, kami tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku dalam lima tahun akan datang disebabkan oleh cabaran infrastruktur,” katanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan sentimen positif terhadap Bermaz Auto Berhad, yang kini berada dalam fasa peralihan secara beransur ke arah EV.
Ini kerana jenama Mazda masih merupakan penyumbang utama kepada jumlah jualan kenderaannya, walaupun syarikat itu turut mempunyai jenama EV Xpeng.- DagangNews.com
standard
