IPT perlu lahirkan graduan penuhi permintaan teknologi tinggi

LocalTechnology
5 Nov 2026 • 5:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: IPT perlu lahirkan graduan penuhi permintaan teknologi tinggi

MELAKA: Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu bertindak pantas menyesuaikan program pendidikan dan latihan dengan keperluan industri bagi memastikan graduan memiliki kemahiran serta kepakaran yang diperlukan pelabur berteknologi tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemasukan pelaburan besar ke Malaysia termasuk syarikat teknologi gergasi dunia perlu dimanfaatkan dengan menyediakan tenaga kerja tempatan.

Menurut beliau, walaupun tenaga kerja negara diiktiraf mempunyai disiplin tinggi, rajin dan berkelayakan, masih terdapat ruang besar yang perlu dipertingkatkan khususnya daripada segi pengkhususan serta kepakaran.

“Apabila kita bertanya kepada pelabur apakah yang mereka perlukan, mereka mengiktiraf tenaga kerja kita sebagai berdisiplin, kuat bekerja dan mempunyai kelayakan.

“Namun, mereka juga mengatakan kita memerlukan peningkatan kemahiran dan latihan supaya tahap pengkhususan serta kepakaran dapat dipertingkatkan lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perdana Menteri berkata, keperluan untuk memperkukuh kemahiran graduan menjadi semakin mendesak berikutan perubahan pesat teknologi dan kemunculan bidang baharu dalam industri.

Katanya, perkembangan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan teknologi digital menuntut institusi pendidikan tidak lagi bergantung kepada pendekatan latihan konvensional.

Ujarnya, IPT perlu mempunyai keupayaan untuk bertindak pantas dan mengubah suai kursus serta latihan berdasarkan permintaan sebenar pasaran kerja.

Menurut beliau, kerajaan akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat tetapi usaha itu perlu disokong oleh kesiapsiagaan institusi pendidikan dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, pelaburan bukan sahaja membawa masuk modal, malah teknologi dan kepakaran baharu yang memerlukan Malaysia menyediakan tenaga kerja tempatan pada tahap lebih tinggi.

Anwar berkata, sebagai contoh keputusan Google untuk melabur RM61 bilion di Malaysia membuka peluang besar kepada negara untuk membangunkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang teknologi masa depan.

“Kalau pelaburan tidak datang, kerajaan tidak mampu sendiri menyediakan pekerjaan untuk puluhan ribu orang.

“Sebab itu kita perlu menarik pelaburan, tetapi pada masa sama, anak-anak kita mesti dipersiapkan supaya mereka mampu mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan,” katanya.-UTUSAN

The post IPT perlu lahirkan graduan penuhi permintaan teknologi tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved