Selangor mahu perkukuh bakat tempatan dalam industri aeroangkasa

LocalSpace
2 Nov 2026 • 9:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor mahu perkukuh bakat tempatan dalam industri aeroangkasa

SHAH ALAM, 2 NOV: Kerajaan Negeri mahu memperkukuh industri aeroangkasa Selangor dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata kerjasama dengan agensi berkaitan, pemain industri dan institusi pendidikan akan terus diperkukuh bagi memantapkan kedudukan Selangor sebagai hab aeroangkasa berdaya saing.

“Pembangunan bakat tempatan mesti bergerak seiring dengan usaha menarik pelaburan.

“Kita mahu anak-anak Selangor memiliki kemahiran dan peluang untuk membina kerjaya dalam industri berteknologi tinggi, sekali gus mengambil bahagian dalam pertumbuhan sektor ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Image from: Selangor mahu perkukuh bakat tempatan dalam industri aeroangkasa
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari meninjau fasiliti pemasangan, integrasi dan pengujian satelit (AIT)di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Banting. Foto Facebook Amirudin Shari

Amirudin berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Aeroangkasa Selangor Bilangan 1/2026 di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Banting.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut meneliti hasil Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor, perkembangan projek aeroangkasa serta insentif sokongan industri bagi pembangunan bakat.

“Penilaian ini penting bagi memastikan hala tuju sektor aeroangkasa negeri seiring dengan keperluan dan perkembangan industri,” katanya.

Image from: Selangor mahu perkukuh bakat tempatan dalam industri aeroangkasa
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari meninjau paparan imej satelit ketika lawatan ke Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di Banting. Foto Facebook Amirudin Shari

Sebelum mesyuarat, Amirudin turut meninjau fasiliti pemasangan, integrasi dan pengujian satelit (AIT) di MYSA, Banting.

Fasiliti yang siap dibina pada 2011 itu membolehkan satelit dan komponennya diuji di bumi dalam keadaan menyerupai cabaran ketika pelancaran serta di angkasa lepas.

Pengujian merangkumi getaran kuat, perubahan suhu ekstrem dan keadaan vakum bagi memastikan satelit mampu bertahan serta berfungsi dengan baik sepanjang misinya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved