IPT perlu rangka pelan pengajian selari permintaan pasaran

26 Nov 2022 • 1:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) berkenan menyampaikan Anugerah Hadiah Buku Inovasi MTDC Doktor Falsafah (Pengangkutan dan Logistik) kepada Dr Anis Mardiana Abdullah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM pada Sabtu. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah agar institusi pengajian tinggi di negara ini perlu memastikan perangkaan pelan pengajian selari dengan permintaan pasaran terutama dalam bidang yang boleh membentuk masa depan.

Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah, inisiatif itu bagi melihat para graduan mendapat pekerjaan, sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga.

"Solusi bagi isu pengangguran belia; kebolehpasaran siswazah; perlindungan pekerja; serta pembangunan bakat adalah dengan memanfaatkan teknologi tinggi dan pertumbuhan berasaskan digital.

"Ia dapat meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan taraf hidup sesebuah keluarga,” titah baginda pada hari pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam pada Sabtu.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, penawaran program-program baharu amat penting dalam menambahkan jumlah bumiputera profesional di negara ini.

"Matlamat penubuhan universiti ini perlu dipenuhi agar keseimbangan guna tenaga dapat diwujudkan terutamanya untuk membantu anak-anak golongan B40 dan M40 dalam sektor pekerjaan,” titah baginda.

Menurut baginda, UiTM adalah universiti utama pilihan ibu bapa dan pelajar kerana kemampuannya untuk menyerlah potensi dan membentuk masa depan para penuntut.

"UiTM juga menjadi tumpuan kerjasama daripada syarikat-syarikat besar seperti TalentCorp dan Talentbank dalam pelbagai aktiviti yang boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dari universiti ini," titah baginda.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah kepada 116 graduan. - Bernama