PENGANJURAN Kongres Pendidikan Bumiputera oleh di WTC Kuala Lumpur baru-baru ini tepat pada masanya dan merupakan intervensi yang sangat dialu-alukan dalam usaha kita menilai semula hala tuju modal insan negara.
Sebagai entiti yang menaungi institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) bumiputera, Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) menyambut baik komitmen mengumpulkan para pemikir dan pelbagai pemegang taruh untuk mencambah idea demi masa depan anak bangsa.
Namun, di sebalik kerancakan perbincangan tersebut, satu realiti pahit telah dibangkitkan oleh tokoh akademik dan ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
Beliau dengan lantang menyuarakan hakikat bahawa sehingga ke hari ini, negara kita masih gagal membentuk satu 'Agenda Pendidikan Bumiputera' yang komprehensif, tuntas dan berstruktur.
Pemerhatian bernas ini mendedahkan satu kepincangan yang amat mendukacitakan. Akibat ketiadaan kerangka agenda yang jelas inilah, ekosistem pendidikan negara dilihat masih beroperasi dalam ruang lingkup berasingan atau secara 'silo'.
Kesannya amat dirasai di peringkat kami apabila peranan dan kelangsungan usahawan pendidikan bumiputera seakan-akan tersisih serta tidak diberi tumpuan sewajarnya dalam agenda utama kongres berkenaan.
Persatuan ini tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan. Perspektif bahawa IPTS hanyalah sekadar entiti pelengkap dalam sistem pendidikan negara harus dikikis segera.
Sebaliknya, institusi kami adalah komponen strategik yang berada di barisan hadapan dalam memperluaskan akses dan mendemokrasikan peluang pendidikan tinggi.
Bagi memberikan gambaran yang lebih jelas, PKIBM kini menggembleng 54 buah IPTS bumiputera yang teguh bersaing, menawarkan lebih daripada 150,000 ruang pengajian. Kesemua institusi ini membuktikan komitmen dengan menawarkan pelbagai program berkualiti tinggi yang dirangka khusus untuk menepati denyut nadi dan kehendak industri masa kini.
Cabaran paling meruncing yang perlu kita tangani bersama hari ini adalah isu halangan akses ke menara gading.
Data terkini membuktikan bahawa masih terdapat segmen masyarakat bumiputera terutamanya dalam kalangan lepasan sekolah yang kadar penyertaan mereka ke pendidikan tinggi jauh berada di bawah paras purata nasional. Hal ini menuntut intervensi yang lebih tersasar dan berkesan.
Kita harus akui, kekangan ini bukanlah satu masalah terpencil. Ia berakar umbi daripada gabungan pelbagai faktor, termasuklah isu lokaliti geografi terutamanya bagi penduduk di luar bandar, kesempitan kewangan yang membelenggu keluarga serta tahap kesedaran masyarakat yang pelbagai.
Mengharapkan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) secara mutlak untuk menangani dan memikul kesemua isu ini adalah sesuatu yang sukar direalisasikan.
Keterbatasan dan birokrasi awam memerlukan pendekatan alternatif yang lebih inovatif dan fleksibel. Di sinilah letaknya kelebihan daya saing IPTS bumiputera.
Dengan struktur operasi yang lebih anjal, keupayaan menyesuaikan pendekatan akademik mengikut situasi semasa dan inisiatif sokongan yang inklusif, institusi ahli PKIBM mampu berfungsi sebagai jambatan penyelamat.
Kami menyediakan laluan alternatif relevan bagi calon yang mungkin terpinggir daripada institusi awam atau berdepan rintangan peribadi.
Oleh hal demikian, PKIBM menggesa agar setiap resolusi yang dicapai menerusi Kongres Pendidikan Bumiputera tidak sekadar kekal di atas kertas. Ia mesti dizahirkan melalui pelan tindakan nyata yang menuntut penglibatan menyeluruh semua penggerak ekosistem pendidikan negara, tanpa mengetepikan IPTS bumiputera.
PKIBM menuntut agar suara dan pandangan pemain industri ini diangkat ke tahap yang lebih signifikan. Pada masa hadapan, wakil persatuan pendidikan seperti PKIBM perlu dilibatkan secara langsung di setiap meja perbincangan dan tindakan susulan kelak, memastikan dasar yang digubal benar-benar berpijak pada realiti sebenar di lapangan.
Kesimpulannya, aspirasi ikhlas untuk memastikan tiada anak bumiputera yang tercicir daripada arus pendidikan tinggi hanya akan tercapai melalui kerjasama yang inklusif, kolaboratif dan realistik.
Suara kami bukan sekadar untuk didengar di dewan persidangan, malah perlu digembleng bersama. PKIBM sentiasa bersiap siaga untuk berdiri kukuh sebagai rakan strategik dalam menjayakan matlamat besar pendidikan negara.
* Amir Hamzah Md Isa ialah Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM)




