JUMAAT yang lepas, buat pertama kali, sempena 80 tahun penubuhan UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera (KPB) diadakan.
Berhimpun, berbincang, memikirkan halatuju dan masa depan pendidikan Bumiputera. Bukan perihal UMNO sahaja. Malah perihal besar negara. Tanpa menguasai pendidikan, Bumiputera tak kemana.
Hakikatnya, sejauh mana kita berjaya mengangkat martabat Bumiputera, persoalan PERTAMA yang mesti dirungkai bukan berapa banyak harta, bahagian ekonomi, dan kekayaan yang kini dikuasai Bumiputera, tetapi, akarnya yang perlu kita perhalusi-apakah status dan kualiti pendidikan Bumiputera hari ini serta kejelasan halatuju pendidikan Bumiputera seterusnya.
Asas utama kepada penguasaan harta, ekonomi dan kekayaan yang mampan adalah minda berilmu, berkemahiran dan berbakat.
Sebagai Pengerusi, Dato Seri Dr Zambry Kadir, membuka kongres dengan satu persoalan besar-adakah kita benar-benar berada di landasan yang betul untuk melahirkan generasi Bumiputera yang unggul dan berdaya saing dalam dunia yang pantas berubah?
Dalam Rancangan Malaysia ke 13, kerajaan telah menyasarkan penstrukturan semula ekonomi dengan menumpu kepada sektor-sektor bernilai tinggi, disimpulkan sebagai sektor pertumbuhan tinggi-bernilai tinggi (HGHV: High Growth-High Value), sektor hijau (tenaga terbaharu), biru (sektor marin dan samudera) dan jingga (industri kreatif).
Pelan Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) meletakkan peningkatan kecanggihan ekonomi yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi sebagai misi utama.
Bersediakah Bumiputera untuk menyertai misi besar negara ini? Dimanakah kita hari ini? Bagaimanakah kita boleh memastikan kesediaan generasi Bumiputera yang mendatang untuk menyertai sektor-sektor HGHV yang canggih ini secara kompetitif?
Hari ini, adakah kita mempunyai halatuju pendidikan Bumiputera yang jelas? Tidak dapat dinafikan sebahagian besar dari kejayaan Bumiputera yang dicapai setelah 68 tahun merdeka adalah hasil dari perjuangan pemimpin masa lalu yang meletakkan pendidikan sebagai teras utama pembangunan.
Meningkatkan akses dan kualiti pendidikan sememangnya menjadi antara fokus utama agenda pembangunan Bumiputera sejak sekian lama.
Pendidikan adalah jantung kepada agenda pembangunan Bumiputera. Kita semua akui. Namun, perakuan ianya penting sahaja tidak mencukupi. Apakah status pendidikan Bumiputera hari ini?
Apakah cabaran yang kita hadapi? Adakah kita mempunyai data pendidikan Bumiputera komprehsif untuk dikaji? Apakah tindakan yang akan kita gerakkan? Siapa yang memantau dan melapor kemajuan pendidikan Bumiputera? Tidak jelas.
Mungkin jelas diperingkat institusi khusus pembangunan Bumiputera seperti MARA dan UITM tetapi tidak diperingkat kebangsaan. Benar kita ada rancangan pembangunan pendidikan negara di Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kita ada rancangan sumber manusia di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tetapi perancangan-perancangan ini mencakupi semua, tidak khusus Bumiputera.
Kita sedia maklum, bersandarkan ujian PISA, pencapaian pendidikan diperingkat persekolahan adalah rendah dan kita tahu minat pelajar Malaysia terhadap STEM jatuh. Namun, apakah status pelajar Bumiputera?
Tidak jelas. Kita tahu graduan yang kita hasilkan berhadapan dengan cabaran mendapatkan pekerjaan yang menepati kelayakan mereka tetapi kita tidak tahu secara jelas status graduan Bumiputera?
Pernyataan dasar terhadap agenda pembangunan Bumiputera tidak ‘bersungguh’, seringkali di longgok, terselit dibawah tajuk keterangkuman atau pembangunan inklusif. Pernyataan agenda pembangunan Bumiputera tidak wujud di mukadimah dasar, tetapi dibahagian terpencil dokumen dasar dengan nada bersifat apologetic. Seringkas boleh. Mungkin terasa bersalah jika dihurai panjang.
Ramai yang keliru (lebih tepat salah) merasakan agenda Bumiputera seolah berifat rasis dan mengenepikan masyarakat bukan Bumiputera. Bumiputera merupakan hampir 70% dari penduduk Malaysia, berjaya Bumiputera, maka berjayalah negara. Mundur Bumiputera, maka mundurlah negara.
Manfaat kejayaan pembangunan Bumiputera pasti melimpah kepada semua. Agenda Bumiputera bukan ‘mencuri’ hak bukan Bumiputera. Ianya mesti saksama, menuntut usaha yang jitu tidak menjadikan ‘bangsa’ sebagai lesen percuma tanpa usaha.
Pembangunan Bumiputera adalah agenda berpelembagaan, tuntutan keatas semua kerajaan yang memerintah. Dasar pendidikan khusus-Bumiputera perlu diangkat dengan jelas beserta komitmen yang tinggi.
Hakikatnya, kemajuan ilmu, kemahiran dan bakat bukan hanya terhad kepada KPM, KPT dan KESUMA. Malah hampir semua dasar pembangunan negara yang lain turut memberi impak kepada agenda pendidikan Bumiputera.
Unit Pemerkasaan Bumiputera telah diwujudkan di setiap Kementerian. Namun, sejauh mana setiap Kementerian bertindak masih kabur.
Antaranya, bagaimanakah Bumiputera dapat mengukuhkan daya sains, teknologi dan inovasi? Bagaimana Bumiputera berfungsi dalam ekonomi digital dan memafaatkan AI? Bagaimana Bumiputera dapat meningkatkan daya keusahawanan dan memperkasakan enterpris mereka?
Bagaimana Bumiputera dapat menjadi pemain industri yang hebat dalam setiap kluster ekonomi, menjangkau pasaran global? Bagaimana institusi pendidikan Bumiputera boleh semakin kukuh, menjadi institusi pendidikan yang hebat dan dihormati? Banyak lagi yang perlu dijawab.
Dasar Bumiputera bukan bererti beri percuma tanpa usaha. Pastinya merit tetap penting dan perlu diutamakan. Dasar khusus-Bumiputera meletakkan matlamat dan sasaran. Menggariskan strategi dan initiatif. Mendasari pelaksanaan dan pemantauan dan pengukuran kemajuan.
Dala ucaptama penutup, YAB Dato Seri Zahid, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, memperingatkan semua bahawa dengan perubahan pantas teknologi, kemahiran hari ini akan cepat menjadi usang.
Pekerjaan hari ini, sebahagiannya akan lenyap bertukar cara. Struktur perekonomian akan berubah, keperluan ilmu dan kemahiran juga akan berubah, menuntut kita membuat persediaan hari ini. Dasar pendidikan Bumiputera mesti disegerakan.
Tiga mandat besar pendidikan negara diutarakan oleh beliau: Membina Manusia, Membina Ekonomi dan Membina Negara. Setiap satu perlu kita perincikan dan wartakan sebagai dasar pendidikan Bumiputera yang akan digerakkan.
Tanpa dasar, halatuju, strategi, dan initiatif yang mantap serta kebersamaan tindakan, Bumiputera berkemungkinan ketinggalan, ditinggal arus perubahan yang deras. Jangan leka. Perubahan tidak menanti kita.
Tahniah dan terima kasih UMNO menjayakan Kongres Pendidikan Bumiputera. Saya amat yakin ini bukan agenda kepartian. Ini agenda kita semua, agenda negara. Kita bersama memartabatkan pembangunan Bumiputera.
*Professor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali merupakan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM)






