
Pengguna iQOO kebanyakannya gemar bermain permua dan model iQOO 15 Ultra dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan tersebut. Menurut kemaskini di Weibo, peranti baharu ini hadir dengan peningkatan utama, iaitu sokongan butang bahu sesentuh yang responsif.

Berbeza dengan butang bahu tradisional, kelebihannya memang ketara. Dengan motor linear terbina, pengalaman penggunaan jangka panjang dikatakan kekal konsisten. Selain daripada itu, butang ini tidak mudah mengalami masalah sekali gus memberikan hayat penggunaan lebih panjang. Ia juga kalis air serta tidak mudah memerangkap kotoran. Pengguna turut tidak perlu berhadapan dengan isu tetapan semula seperti yang sering berlaku pada butang bahu fizikal biasa.

Menariknya, ini merupakan kali pertama iQOO memperkenalkan sokongan tersebut pada peranti mereka, sekali gus menandakan kesungguhan syarikat untuk membawa barisan telefon pintar ini ke arah fokus gaming sepenuhnya. Pendedahan ini turut mengesahkan khabar angin mengenai penggunaan butang bahu sesentuh yang telah tersebar sebelum ini.


