
Iran Belum Buka Selat Hormuz Untuk Indonesia, Prabowo Mahu Bahlil Cari Minyak Dari Negara Lain
JAKARTA -- Presiden Prabowo Subianto meminta Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM), Bahlil Lahadalia untuk mencari minyak mentah (crude) dari pelbagai negara, lapor DetikFinance.
Langkah ini diambil sebagai persediaan menghadapi kesan krisis di Asia Barat terhadap bekalan tenaga.
Apatah lagi, Iran masih belum membuka Selat Hormuz untuk Indonesia.
"Atas dasar itu, Presiden malam tadi telah meminta saya dan pasukan untuk segera mencari bekalan-bekalan minyak kita dari hampir semua negara.
"Seterusnya, mengoptimumkan semua tenaga yang kita ada," ujar Bahlil semasa melakukan pemeriksaan mengejut di stesen minyak Colomadu, Jawa Tengah.
Baca juga:Tegas Bahlil, kerajaan republik itu akan terus berusaha menjaga bekalan, rizab tenaga, serta kestabilan harga di tengah-tengah konflik yang berlaku di Timur Tengah yang menjejaskan hampir semua negara.
Lebih-lebih lagi menurut Bahlil, konflik yang berlaku ini masih tiada penghujungnya.
Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan bahawa pada masa ini ketersediaan bahan api minyak (BBM), merangkumi petrol dan diesel, serta LPG, berada dalam keadaan selamat.
"Walaupun dalam keadaan di mana hampir seluruh dunia terjejas, kita bersyukur Presiden dan sokongan rakyat, hari ini bekalan BBM di negara tercinta kita baik dari segi petrol, diesel mahupun LPG adalah mencukupi dengan baik," katanya.
Bahlil turut meminta sokongan masyarakat untuk menggunakan tenaga secara berhemah.
"Saya memohon sokongan daripada seluruh rakyat Indonesia. Masalah ini bukan hanya masalah kerajaan tetapi masalah kita semua.
"Saya memohon dan menyarankan agar marilah kita menggunakan tenaga dengan bijak. Gunakan dengan bijak, perkara yang tidak perlu saya sarankan jangan dilakukan," ujarnya.


