
TEHERAN: Seorang anggota Parlimen Iran berkata, Teheran akan bertindak balas setimpal jika Amerika Syarikat (AS) menggunakan senjata nuklear terhadap Iran, susulan laporan media mengenai kemungkinan serangan sedemikian, menurut media tempatan pada Rabu.
Fada Hossein Maleki, anggota Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, berkata demikian dalam satu temu bual dengan portal berita Iran, Khabar Online.
Ketika ditanya sejauh mana beliau melihat kemungkinan AS melancarkan serangan nuklear terhadap Iran, Maleki berkata: “Saya tidak menolak kemungkinan tindakan terburu-buru oleh (Presiden AS Donald) Trump, tetapi saya tidak fikir beliau berani melakukan perkara sedemikian kerana tindakan itu boleh menjerumuskan dunia ke dalam perang yang berbahaya.
“Jika tindakan sedemikian dilakukan, Republik Islam Iran juga akan bertindak balas dan tindak balasnya akan setimpal dengan jenis senjata yang digunakan terhadap Iran,” katanya.
Apabila ditanya ika AS guna senjata nuklear, Maleki menjawab: “Apa sahaja yang digunakan AS, Iran akan bertindak balas terhadapnya.”
Maleki bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas bahawa Iran memiliki senjata nuklear.
Bekas anggota Kongres, Marjorie Taylor Greene pada Ahad lalu mendakwa bahawa anggota pentadbiran Trump sedang membincangkan penggunaan senjata nuklear terhadap Iran dalam mesyuarat strategi.
Dalam kenyataannya, Greene tidak mengemukakan bukti atau mengenal pasti pegawai yang didakwa terlibat dalam perbincangan tersebut. – AGENSI
The post Iran bertindak balas jika AS serang guna senjata nuklear appeared first on Utusan Malaysia.


