Iran hukum mati warga asing berkait protes antikerajaan

WorldPolitics
20 Aug 2026 • 4:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Iran hukum mati warga asing berkait protes antikerajaan

TEHERAN: Iran melaksanakan hukuman mati terhadap seorang warga asing selepas didapati terlibat dalam pembunuhan empat anggota polis ketika tunjuk perasaan antikerajaan pada Januari lalu.

Badan kehakiman Iran, melalui laman web Mizan Online, melaporkan Ghaem Hosseini dihukum gantung selepas kesnya disemak semula dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Agung.

Hosseini didapati bersalah atas penglibatan dalam satu insiden di wilayah Isfahan, tengah Iran, yang mengakibatkan empat anggota polis terbunuh.

Bagaimanapun, laporan itu tidak mendedahkan kewarganegaraan Hosseini.

Dia disabitkan atas kesalahan menghunus senjata serta menimbulkan ketakutan dan keganasan, mencetuskan rasa tidak selamat secara meluas, selain bertindak terhadap keselamatan fizikal orang awam serta keselamatan negara sehingga menjejaskan ketenteraman awam secara serius.

Iran sebelum ini sudah menghukum gantung empat individu lain berhubung kes sama sejak Julai lalu.

Jumlah pelaksanaan hukuman mati di Iran meningkat sejak tercetusnya perang di Asia Barat pada 28 Februari lalu susulan serangan AS dan Israel terhadap Iran.

Sebahagian besar hukuman mati itu dikaitkan dengan tunjuk perasaan yang tercetus pada musim sejuk lalu.

Demonstrasi berkenaan bermula susulan peningkatan kos sara hidup sebelum berkembang menjadi tunjuk perasaan besar-besaran menentang kerajaan, dengan pihak berkuasa Iran melaporkan lebih 3,000 kematian.

Pada Ahad, Iran turut melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lagi lelaki selepas dia disabitkan kesalahan merempuh beberapa anggota polis menggunakan keretanya ketika tunjuk perasaan berkenaan.

Sekurang-kurangnya 1,639 individu dihukum mati di Iran tahun lalu, angka tertinggi sejak 1989, menurut Iran Human Rights, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Norway, dan Together Against the Death Penalty yang beribu pejabat di Paris.

Menurut Amnesty International, Iran melaksanakan hukuman mati kedua tertinggi di dunia selepas China.- AFP

The post Iran hukum mati warga asing berkait protes antikerajaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved