Iran guna imej satelit China serang pangkalan AS

WorldPolitics
14 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Iran guna imej satelit China serang pangkalan AS

TEHERAN: Iran menggunakan imej satelit beresolusi tinggi yang disediakan entiti China bagi melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Jordan yang mengorbankan tiga anggota tentera AS pada Julai lalu, menurut laporan Wall Street Journal.

Pegawai AS memberitahu akhbar itu, Teheran menerima imej satelit beresolusi tinggi Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, yang mengalami kerosakan teruk dalam serangan pada 17 Julai.

Iran turut menyasarkan pesawat dan dron di pangkalan berkenaan, menurut pegawai terbabit. 

Pegawai berkenaan bagai­manapun tidak menamakan entiti China terbabit atau mendakwa kerajaan China terlibat secara langsung dalam serangan itu.

Laporan berkenaan muncul ketika ketegangan antara Washington dan Beijing semakin memuncak menjelang pertemuan yang dirancang antara Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawannya dari China, Xi Jinping pada 24 September ini.

Pegawai AS sejak beberapa bulan lalu memberi amaran mengenai syarikat China yang menjual imej satelit yang boleh digunakan Iran untuk me­nyasarkan tentera AS, menurut akhbar itu.

Serangan itu merupakan kematian pertama anggota tentera AS sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada April lalu, sekali gus meningkatkan kebimbangan Washington terhadap keupayaan Iran yang semakin berkembang untuk mengesan dan menyerang lokasi ketenteraan Amerika.

Dalam tempoh tiga hari selepas serangan itu, Iran mengeluarkan imej beresolusi tinggi yang menunjukkan kerosakan pada beberapa bahagian pangkalan berkenaan.

Berdasarkan imej satelit beresolusi lebih rendah yang tersedia kepada umum, lebih 20 struktur di pangkalan tersebutmengalami kerosakan. 

Menurut pegawai AS, perkara itu merupakan bukti pa­ling kukuh setakat ini bahawa sokongan China kepada Iran sepanjang perang mungkin membawa kesan buruk kepada tentera AS.

Bagaimanapun, pihak ber­kuasa China menafikan dakwaan berkenaan dan meminta bukti dikemukakan.

Pada Mei lalu, pentadbiran Trump mengenakan sekatan terhadap MizarVision, Earth Eye dan Chang Guang.

Trump mendakwa syarikat itu menyediakan, mengumpul atau menerbitkan imej yang boleh digunakan Iran untuk menyasarkan tentera AS. Pentadbiran Trump juga bimbang China mungkin membantu Iran menjejaki aset tentera laut AS.

 

The post Iran guna imej satelit China serang pangkalan AS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved