Iran Hukum Gantung Lelaki Dipercayai Perisik Israel
Seorang lelaki Iran, Mohsen Langarneshin, telah dihukum gantung atas tuduhan bekerjasama dengan agensi perisikan Israel, Mossad.
Hukuman mati itu dilaksanakan pada pagi Rabu, menurut laporan agensi berita rasmi Iran, Mizan.
Langarneshin didakwa menyokong operasi Mossad dari segi logistik, teknikal dan operasi sepanjang dua tahun bermula pada tahun 2020.
Antara tuduhan utama terhadapnya termasuk penglibatannya dalam pembunuhan Kolonel Sayyad Khodai, anggota Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang dibunuh pada Mei 2022.
Siasatan mendapati Langarneshin membeli sebuah motosikal bagi tujuan menjejaki pergerakan Khodai sebelum menyerahkan maklumat tersebut kepada pihak Mossad.
Dia juga dituduh terlibat dalam serangan ke atas sebuah kemudahan industri di wilayah Isfahan yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan Iran.
Namun begitu, beberapa pertubuhan hak asasi manusia mempersoalkan keadilan dalam perbicaraan kes tersebut.
Mereka mendakwa pengakuan Langarneshin diperoleh melalui penyeksaan dan hukuman mati dijatuhkan selepas proses perbicaraan yang tidak adil.
Pengarah Iran Human Rights yang berpangkalan di Norway, Mahmood Amiry-Moghaddam, menyifatkan tindakan itu sebagai “pembunuhan di luar undang-undang”.
Pelaksanaan hukuman ini berlaku dalam suasana tegang antara Iran dan Israel, dua negara yang sekian lama saling terlibat dalam konflik secara rahsia.
Iran sering menuduh Mossad menjalankan operasi sabotaj dan pembunuhan bagi melemahkan program nuklear negara itu.
Tindakan ini juga berlaku ketika rundingan berkaitan isu nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat sedang berlangsung, dengan dakwaan bahawa Israel cuba mengganggu usaha diplomatik tersebut.
Sumber: Astro Awani
The post Iran Hukum Gantung Lelaki Dipercayai Perisik Israel appeared first on Siakap Keli.



