Iran lali dengan ‘sekatan lapuk’ AS

WorldPolitics
24 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Iran lali dengan ‘sekatan lapuk’ AS

TEHERAN: Iran tidak gentar dengan ancaman perang ekonomi baharu Amerika Syarikat (AS), yang dilihat sebagai pengulangan strategi Washington selepas hampir lima dekad berdepan sekatan dan tekanan ekonomi.

Ancaman terbaharu Presiden Donald Trump untuk memperhebat tekanan ekonomi terhadap Teheran dilihat tidak banyak mengubah pendirian Iran, yang telah berdepan pelbagai sekatan AS sejak 1979.

Trump minggu lalu mengumumkan AS akan melancarkan perang ekonomi dan pengasingan yang belum pernah berlaku terhadap Iran, bertujuan memaksa kepimpinan Teheran menamatkan program nuklear serta membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz.

Langkah itu dibuat ketika Trump berdepan perang yang semakin tidak popular dan masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya pertengahan penggal AS yang bakal menentukan sama ada Parti Republikan dapat mengekalkan kawalan terhadap Kongres.

Namun, pegawai dan penganalisis Iran menyifatkan ancaman terbaharu itu sebagai pengulangan pendekatan yang sama, ketika Teheran sudah mempunyai pengalaman panjang berdepan sekatan ekonomi Washington.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, berkata pengalaman beberapa dekad membuktikan Iran tidak akan tunduk kepada tekanan sedemikian.

“Iran membuktikan selama beberapa dekad negara ini tidak akan tunduk kepada ancaman lama yang sudah lapuk,” katanya.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, turut menyindir ancaman itu dengan memuat naik sejarah sekatan AS terhadap Teheran di X pada Jumaat lalu.

“Kami sudah pernah menonton filem ini. Sama sahaja, hanya pembuli yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Iran di International Crisis Group, Ali Vaez, berkata langkah pentadbiran Trump memperhebat dasar tekanan terhadap Iran melalui tindakan ketenteraan seolah-olah mengabaikan pengalaman lalu yang menunjukkan tekanan terhadap Teheran tidak berkesan.

Sebaliknya, kempen tekanan ekonomi terbaharu hanya membuatkan Iran semakin berkeras, katanya.

“Inilah masalah asas, tekanan tanpa membuka ruang untuk rundingan adalah usaha yang sia-sia,” katanya.

Kelmarin, Iran memberi amaran kepada negara yang menyertai perang ekonomi AS bahawa mereka akan dianggap sebagai musuh.

Ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezai, berkata mana-mana negara yang mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran akan berdepan tindakan balas, termasuk kemungkinan serangan terhadap kepentingan ekonomi AS dan sekutunya.

The post Iran lali dengan ‘sekatan lapuk’ AS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved