
BAGHDAD: Iraq menafikan memberi kelulusan terhadap serangan maut Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi di wilayahnya, selepas Washington mendakwa operasi ketenteraan itu diselaraskan dengan Baghdad.
Jurucakap kerajaan Iraq, Haider al-Aboudi berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai serangan berkenaan. Kerajaan juga tidak meluluskan sebarang serangan ke atas lokasi atau kumpulan tertentu di Iraq, katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan televisyen kerajaan pada Khamis.
Menurut Haider, lawatan yang dijadualkan Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi ke Arab Saudi turut ditangguhkan susulan serangan berkenaan.
Serangan AS dan Arab Saudi pada Rabu mengorbankan sekurang-kurangnya 20 anggota kumpulan bersenjata, termasuk lima rakyat Iran, menurut Hashed al-Shaabi. Ia merupakan pakatan kumpulan bersenjata Iraq yang turut merangkumi kumpulan pro-Iran.
Seorang wartawan Fox News berkata, Presiden AS, Donald Trump memaklumkan serangan itu diselaraskan dengan kerajaan Iraq selepas beliau bercakap dengan pemimpin AS itu.
Serangan itu dilancarkan selepas Riyadh memaklumkan pihaknya berjaya memintas dron yang menyasarkan kemudahan minyak negara itu. Arab Saudi turut menuduh kumpulan yang disokong Iran di Iraq itu sebagai bertanggungjawab melancarkan serangan.
Operasi ketenteraan itu berlaku ketika Washington meningkatkan tekanan terhadap Baghdad supaya melucutkan senjata kumpulan-kumpulan itu, yang sebelum ini menyokong Teheran dalam perang di Asia Barat dengan menyasarkan kemudahan AS di Iraq dan di seluruh rantau itu.
Zaidi, yang mengambil alih jawatan awal tahun ini dengan sokongan Trump, berikrar memastikan kumpulan terbabit menyerahkan senjata mereka.
Kumpulan bersenjata yang disokong Teheran dan beroperasi di bawah gabungan penentangan di Iraq menafikan melancarkan serangan ke atas Arab Saudi selain memberi amaran akan bertindak balas terhadap operasi ketenteraan dilakukan Washington bersama Riyadh itu. – AFP
The post Iraq nafi benarkan serangan AS-Arab Saudi appeared first on Utusan Malaysia.

