
TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran keras bahawa mereka akan terus memburu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, susulan spekulasi berterusan mengenai keadaan sebenar pemimpin tersebut.
Amaran itu dikeluarkan pada Ahad ketika konflik di Asia Barat kini memasuki minggu ketiga dengan ketegangan yang semakin memuncak.
Menurut IRGC, nasib pemimpin Israel itu masih menjadi tanda tanya sama ada beliau masih hidup, telah meninggal dunia atau melarikan diri bersama keluarganya.
“Nasib pemimpin penjenayah itu masih tidak diketahui, sama ada hidup atau mati, atau sudah pun melarikan diri bersama keluarganya. Keadaan ini menunjukkan betapa gentingnya situasi yang sedang dihadapi oleh pihak Zionis.
“Jika pembunuh itu masih hidup, kami akan terus menjejakinya dan memastikan dia dihukum,” tegas kenyataan tersebut.
Menurut laporan agensi, kenyataan keras IRGC itu muncul ketika spekulasi mengenai keberadaan Benjamin Netanyahu terus menjadi perbualan hangat di media sosial dan platform berita antarabangsa.
Spekulasi kematian Netanyahu terus tular
Sejak minggu lalu, pelbagai khabar angin mengenai kematian Benjamin Netanyahu mula tersebar luas di media sosial.
Spekulasi tersebut semakin memuncak selepas satu video kemunculan terbaharu beliau tular, namun ada pihak mendakwa rakaman itu sebenarnya dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau melibatkan penggunaan “klon”.
Setakat ini, pihak berkuasa di Tel Aviv masih belum memberikan sebarang penjelasan rasmi berhubung dakwaan tersebut, sekali gus mencetuskan lebih banyak teori konspirasi dalam talian.
IRGC lancar gelombang serangan baharu
Dalam perkembangan berkaitan, IRGC memaklumkan mereka telah melancarkan gelombang serangan balas ke-52 yang menyasarkan beberapa lokasi di Israel serta tiga pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara Teluk.
Serangan tersebut didakwa sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan yang dijalankan oleh Washington bersama Israel di Iran.
Sementara itu, Ketua World Health Organization, Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengecam keras kempen pengeboman yang didakwa menyasarkan kemudahan awam di ibu negara Iran.
Menurut beliau, serangan ke atas hospital dan sekolah di Teheran tidak boleh diterima dalam mana-mana keadaan.
“Membunuh paramedik bukanlah kerosakan sampingan. Menyeksa orang awam dengan kelaparan juga bukan taktik rundingan. Semua ini adalah jenayah perang dan hakikat yang perlu diterima,” katanya dalam satu hantaran di platform X. – The Malaysian Update
The post IRGC Ikrar Buru Netanyahu, Spekulasi Nasib Pemimpin Israel Terus Jadi Tanda Tanya appeared first on The Malaysian Update.

