
BAITULMAQDIS – Sebuah video memaparkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berada di sebuah kedai kopi yang tular di media sosial kini mencetuskan spekulasi baharu apabila didakwa dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau deepfake.
Memetik laporan Hindustan Times, rakaman berkenaan mula menjadi perhatian selepas beberapa pihak mendakwa terdapat elemen visual yang kelihatan tidak masuk akal dalam video tersebut.
Spekulasi itu semakin hangat apabila Grok, chatbot di platform X milik Elon Musk, mendakwa video berkenaan adalah rakaman yang dijana sepenuhnya menggunakan AI.
Menjawab pertanyaan seorang pengguna, Grok mendakwa video tersebut adalah “100 peratus deepfake”.
Menurut chatbot itu, video berkenaan memaparkan Netanyahu kelihatan santai di sebuah kedai kopi sambil berbual mengenai operasi Iran dan Lubnan serta kawasan dilindungi ketika menikmati kopi.
Grok turut mendakwa tiada peristiwa sebenar seperti itu pernah berlaku atau dilaporkan sebelum ini, malah hantaran asal yang menularkan video berkenaan juga dikatakan menyebut ia sebagai teknologi AI canggih yang belum didedahkan kepada umum.
Elemen Visual Mencurigakan
Sementara itu, laporan India Times menyebut pengguna media sosial turut meneliti beberapa elemen mencurigakan dalam video berkenaan.
Antara yang menjadi perhatian termasuk buih kopi yang dilihat tidak bergerak serta pergerakan kain pakaian yang kelihatan seperti ‘melompat’, ciri yang sering dikaitkan dengan video yang dijana menggunakan teknologi AI.
Selain itu, ada juga pengguna mendakwa latar belakang kedai kopi dalam video tersebut kelihatan terlalu tajam, termasuk paparan skrin mesin tunai, manakala bahagian lain imej pula kelihatan lebih lembut.
Perkara itu menguatkan teori bahawa video tersebut mungkin merupakan suntingan AI yang dihasilkan berdasarkan rakaman sebenar Netanyahu pada masa lalu.
Malah, terdapat pengguna yang mengaitkan video tular itu dengan rakaman lama ketika lawatan Netanyahu ke sebuah kafe pada tahun 2024.
Spekulasi Kematian Netanyahu Tular
Terdahulu, khabar angin mengenai kemungkinan pembunuhan Netanyahu mula tersebar selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran yang dilaporkan menyebabkan kematian bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Dalam perkembangan sama, dakwaan lain yang turut tular mendakwa abang Netanyahu, Iddo Netanyahu dan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, terbunuh dalam satu serangan udara.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut segera disangkal dan kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Berdasarkan kemas kini di akaun media sosial Netanyahu serta Pejabat Perdana Menteri Israel, pemimpin berusia 76 tahun itu dilaporkan masih berada di Tel Aviv ketika konflik Iran sedang berlangsung. – The Malaysian Update
The post Video Netanyahu Di Kedai Kopi Cetus Spekulasi Deepfake AI appeared first on The Malaysian Update.


