Isa Samad jalani pembedahan mata, SPRM tangguh ambil keterangan

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 5:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isa Samad jalani pembedahan mata, SPRM tangguh ambil keterangan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyambung semula pengambilan keterangan Datuk Seri Mohd. Isa Abdul Samad, yang kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh selepas kesihatan bekas Pengerusi FELDA itu kembali pulih.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, Isa ketika ini sedang dirawat di Hospital Serdang kerana menjalani pembedahan mata.

Beliau berkata, SPRM tidak boleh menghentikan pengambilan keterangan beliau kerana ia penting untuk siasatan penyelewengan FELDA.

“Berhubung keterangan Isa, kita terpaksa ‘hold’ dahulu kerana sepatutnya ia (keterangan) diambil semalam dan hari ini tetapi memandangkan beliau tak sihat, dihantar ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan mata, maka kita tangguhkan dulu.

“Kita akan rakam semula percakapan beliau selepas mendapat maklumat (status kesihatan) daripada Jabatan Penjara.

“Apabila sudah sihat, maka kita akan sambung perakaman kenyataan itu. Banyak lagi nak dirakamkan daripada beliau,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5, di sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM mula merakam keterangan Isa Samad di Penjara Sungai Buloh sejak 17 September lalu bagi membantu siasatan berkaitan agensi berkenaan.

SPRM turut memberi tumpuan kepada pengumpulan dokumen berkaitan yang berada di luar negara, khususnya di United Kingdom (UK) dan Arab Saudi.

Pada masa sama, SPRM akan memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) melalui Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan keterangan saksi serta dokumen berkaitan dari negara terbabit.

Mohd. Isa disabitkan bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Sarawak oleh Mahkamah Persekutuan.

Mohd. Isa perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM15.45 juta selepas rayuan pendakwaan dibenarkan.

Sekiranya gagal membayar denda, Mohd. Isa perlu menjalani tambahan 18 tahun hukuman penjara.

Lima tahun lalu, Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd. Isa selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan itu. – UTUSAN 

The post Isa Samad jalani pembedahan mata, SPRM tangguh ambil keterangan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved