ISF Group meterai perjanjian taja jamin IPO Pasaran ACE, buku tempahan cecah RM103.53 juta

LocalBusiness & Finance
10 Dec 2025 • 3:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ISF Group meterai perjanjian taja jamin IPO Pasaran ACE, buku tempahan cecah RM103.53 juta
image is not available
haziq10/12/2025 - 15:24 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Dis – Penyedia rumusan paip hujung-ke-hujung, ISF Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank Berhad sempena tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

ISF, menerusi anak syarikatnya Yeo Plumber Sdn Bhd, terlibat dalam pembekalan dan pemasangan sistem perpaipan bagi premis pengguna akhir serta infrastruktur bekalan air dan pembetungan, selain menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan.

 

Kumpulan yang memulakan operasi sejak 2001 itu telah melaksanakan pelbagai projek berskala besar merangkumi sektor perindustrian, pusat data, kediaman, komersial, institusi, penjagaan kesihatan dan infrastruktur termasuk loji janakuasa serta kemudahan transit massa. 

 

Berpangkalan di Johor, ISF kini mempunyai jejak operasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Setakat 27 Mei 2025, kumpulan mencatatkan buku tempahan belum dibil RM103.53 juta, yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 31 Disember 2028.

 

Latihan IPO ISF merangkumi:
•    Terbitan awam 185.30 juta saham baharu, mewakili 18.53% daripada modal saham terbitan diperbesarkan; dan


•    Tawaran jualan 90 juta saham sedia ada, mewakili 9.00% daripada modal saham terbitan diperbesarkan.

 

Daripada 185.30 juta saham terbitan:
•    50 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian;


•    15 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan (Peruntukan Borang Merah Jambu);


•    35 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh  Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); dan


•    85.30 juta saham lagi kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Kesemua 90 juta saham tawaran pula akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

 

Menurut perjanjian taja jamin, Alliance Islamic Bank Berhad akan menaja jamin sebanyak 65 juta Saham Terbitan, melibatkan saham yang diperuntukkan kepada orang awam dan Peruntukan Borang Merah Jambu.

 

Pengarah Urusan ISF, Jeff Ai Boon Chen berkata pemeteraian perjanjian taja jamin itu merupakan langkah penting ke arah penyenaraian di Pasaran ACE.

 

“Dana hasil IPO akan digunakan untuk menubuhkan dan mengembangkan kemudahan operasi, membangunkan aktiviti perniagaan sedia ada serta menambah tenaga kerja. Ini bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat, khususnya penglibatan kami dalam projek pusat data,” katanya.

 

Beliau berkata Malaysia terus menarik pelaburan pusat data, pengkomputeran awan dan projek pengehosan data berjumlah RM113.8 bilion antara 2021 hingga 2024, disokong penubuhan Pejabat AI Negara, dengan industri pusat data domestik diunjurkan berkembang pada CAGR 22.4% antara 2025 hingga 2030 untuk mencapai RM59.6 bilion menjelang 2030.

 

Alliance Islamic Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi IPO ISF. - DagangNews.com

Terkini standard