
KUALA LUMPUR 10 Dis – One Gasmaster Holdings Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Syarikat itu berkata, IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 77.5 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan 15.5 juta saham biasa sedia ada kepada pelabur terpilih.
Malacca Securities akan menaja jamin sejumlah 18.6 juta saham terbitan awam iaitu bahagian yang akan ditawarkan kepada orang ramai melalui proses pengundian dan borang merah jambu kepada pengarah dan pekerja yang layak.
Pengarah Urusan One Gasmaster, Ivan Tan berkata, hasil yang dikutip daripada IPO akan digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan syarikat termasuk penyelesaian kawalan pelepasan (emission control solutions).
“Selain itu, syarikat juga akan membuka makmal baharu di pejabat Damansara, serta membuka cawangan dan makmal baharu di Johor, Terengganu dan Pulau Pinang.
“Sepanjang dua dekad lalu, kami telah membina reputasi kukuh sebagai penyedia perkhidmatan yang dipercayai dalam pemantauan alam sekitar, pengesanan gas dan kebersihan industri,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu terlibat secara utama dalam pemantauan alam sekitar, pengesanan gas dan pemasangan paip gas, serta perkhidmatan kebersihan industri.
Mereka juga menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan penentukuran melalui makmal penentukurannya yang diperakui ISO/IEC 17025, bagi memastikan prestasi sistem yang tepat dan boleh dipercayai.
Selain itu, syarikat tersebut turut menjalankan perdagangan produk termasuk instrumen, alat ganti dan komponen.
One Gasmaster menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai pelanggan daripada pelbagai industri pengguna akhir, termasuk minyak dan gas, penjanaan kuasa, pembuatan, perkhidmatan makanan dan minuman serta sektor kimia.
Malacca Securities turut bertindak sebagai penasihat utama, penaja dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com

