
KUALA LUMPUR – Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi figura legenda apabila pelakon dan penyanyi popular era 1980-an, Isma Aliff, meninggal dunia pada usia 62 tahun di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh adiknya, Shamsidah Ismail, 60, ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Shamsidah, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.30 pagi, selepas mengalami sesak nafas di rumah. Difahamkan, Isma Aliff tinggal bersendirian sejak pemergian ibu mereka pada tahun 2024.
“Saya Sempat Jumpa Abang Sebelum Dia Pergi”
“Pagi tadi saya sempat datang jumpa abang sebelum pergi ke sekolah. Masa itu dia sudah sesak nafas, tapi saya terpaksa keluar sekejap untuk ambil barang. Bila saya balik semula, dia sudah tiada. Tak lama pun, dalam setengah jam saja… tapi memang sudah sampai ajalnya,” katanya.
Shamsidah turut meluahkan rasa syukur kerana masih sempat bertemu dan melihat abangnya buat kali terakhir sebelum Allahyarham pergi buat selama-lamanya.
Menurutnya lagi, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas solat Asar hari ini.
Pernah Kritikal Akibat Jangkitan Jantung Dan Paru-Paru
Untuk rekod, Allahyarham Isma Aliff, atau nama sebenarnya Muhammad Latiff, pernah dimasukkan ke Hospital Ampang pada 15 Disember 2023 selepas disahkan mengalami jangkitan serius pada jantung dan paru-paru, sebelum ditidurkan kerana berada dalam keadaan kritikal.
Pemergian Isma Aliff pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan artis serta peminat yang membesar dengan karya-karya beliau. Al-Fatihah. – The Malaysian Update
The post Isma Aliff Meninggal Dunia Pada Usia 62 Tahun appeared first on The Malaysian Update.


