Ismail Lasim demam, dirawat di hospital

LocalPolitics
22 Nov 2026 • 3:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ismail Lasim demam, dirawat di hospital

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim kini sedang mendapatkan rawatan di wad sebuah hospital di sini selepas mengalami demam.

Menurut sumber terdekat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dimasukkan ke hospital malam tadi namun keadaannya kini beransur stabil dan tidak mengalami masalah kesihatan serius yang lain.

“Betul tak sihat. Keadaan beliau okay cuma demam sahaja. Setakat ini masih dirawat di wad,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd. Fasha Musthafa mengesahkan perkara tersebut.

“Untuk makluman, beliau kini sedang menerima rawatan di hospital dan Alhamdulillah, keadaannya dilaporkan semakin pulih.

“Terima kasih atas keprihatinan semua. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.

Perkembangan itu berlaku ketika Negeri Sembilan masih berdepan kemelut politik susulan polemik kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar.

Hari ini, Mingguan Malaysia melaporkan seramai 24 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan akan mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyatakan pendirian mereka berhubung sokongan terhadap Ismail.

Ismail sebelum ini dilaporkan beliau tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan berhubung surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Tuanku Muhriz.

Perkara itu turut disahkan Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, pada Jumaat lalu.

Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.

Bagaimanapun, pihak istana pada keesokan harinya memaklumkan ketulenan surat yang dihantar pada pukul 12.16 tengah malam itu masih belum disahkan.-UTUSAN.

The post Ismail Lasim demam, dirawat di hospital appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved