SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan menerusi surat peletakan jawatan yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkuat kuasa pada Isnin.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO telah menerima salinan surat peletakan jawatan itu.
Menurutnya, BN menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Ismail sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
"BN berharap keputusan berkenaan dapat membuka lembaran baharu bagi memulihkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran negeri kembali berfungsi dengan lancar.
"BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Pengerusi BN akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Peletakan jawatan itu berlaku ketika Negeri Sembilan berdepan kemelut politik dan institusi diraja susulan pertikaian kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang berlarutan sejak April lalu.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu pada 10 November menyaksikan Ismail bersama 10 bekas anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menarik balik surat bertarikh 17 September yang dikemukakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.






