Ismail Sabri gesa OIC, PBB henti kekejaman rejim Israel ke atas Palestin
diyana
10/10/2023 - 16:20
KUALA LUMPUR 10 Okt - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh dunia Islam bersatu menghentikan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas Palestin.
Ismail Sabri berkata, kerajaan Malaysia sejak dahulu sehingga kini tetap menyokong kebebasan Palestin daripada pendudukan haram Israel.
“Ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, saya telah menggesa kuasa-kuasa besar untuk bersikap jujur dalam menyelesaikan isu rakyat Palestin.
“Namun, dalam krisis yang berlaku hari ini, saya ingin menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh dunia Islam bersatu dan bersama-sama menghentikan kekejaman yang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin.
“Saya menyeru agar seluruh Keluarga Malaysia bersolidariti dan berdoa agar bumi Palestin terus dilindungi dan dirahmati oleh Allah,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata konflik terbaharu Palestin dan Israel berpunca daripada sejarah yang sangat panjang, di mana rakyat Palestin dikurung dalam penjara terbuka yang terbesar di dunia berdekad-dekad lamanya.
“Mereka dizalimi, dibunuh dan tanah dirampas. Setiap hari, mereka hanya menunggu masa untuk menjadi korban serangan rejim Israel.
“Justeru, usah terperangkap dengan naratif Israel dan Barat bahawa konflik ini berpunca daripada Hamas,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa selagi punca tidak diselesaikan, maka konflik ini akan terus berpanjangan dan mengorbankan ribuan nyawa.
Tambahnya, hak mutlak rakyat di bumi Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat wajib dipertahankan. - DagangNews.com



